Monday, June 26, 2006

Cetusan Demam WC : Layangan tiket ke suku akhir

Germany 2-0 Sweden

Putih dan Kuning berentap di padang nan hijau, namun kelebihan berpihak pada pasukan putih apabila menguasai perlawanan dengan dua gol berbalas kosong pada minit ke-4 dan ke-12. Penyerang Jerman, Lukas Podolski yang memakai jersi no 20 ini berjaya menamatkan impian Sweden untuk terus mara ke peringkat suku akhir.

Prestasi semakin bersinar dari setiap persembahan pasukan Jerman. Kelebihan sentiasa berpihak kepada mereka sebagai tuan rumah. Mampukah mereka mengulangi kemenangan sehingga ke peringkat akhir ataupun bakal memalukan pasukan dengan kekalahan di tempat sendiri?




Argentina 2-1 Mexico

Merasmikan permainan dengan gol pertama dari Kapten Pasukan Mexico, Rafael Marquez pada minit yang ke-6 tidak membantu mereka untuk mara ke suku akhir. Hernan Crespo mengesahkan gol yang terhasil melalui sepakan sudut pada minit ke-10 menjadi miliknya biarpun jelas di pandangan umum ia melantun daripada 'tandukan menyelamat' yang tidak menjadi oleh Jared Borgetti.

Rentak permainan bertambah sengit sesudah itu kerana keinginan kedua-dua pasukan menguasai permainan. Rembatan demi rembatan yang dilakukan tidak berjaya mematahkan kubu pihak lawan kerana masing-masing memberi fokus sepenuhnya kepada perlawanan yang berlangsung.

45 minit yang ke-2 berakhir dengan sebuah kebosanan apabila kedua-dua pasukan hijau dan biru ini tidak menjaringkan sebarang gol sehingga memaksa mereka beraksi lagi dalam 30 minit tambahan.

Rembatan menjunam yang memperdayakan penjaga gawang Mexico, Oswaldo Sanchez telah menjadi gol keramat yang membawa Argentina untuk mara ke peringkat suku akhir. Pemain tengah Argentina berjersi 18, Maxi Rodriguez menyudahkan impian Mexico pada minit ke-98.

Argentina membawa harapan dan tekanan yang tinggi dari peminatnya di seluruh dunia yang menagih kejuaraan. Mungkinkah kecemerlangan yang tertulis di atas kertas menjadi titik tolak kepada kejayaan untuk mara ke peringkat akhir ataupun sekadar pulang dengan sebuah kesedihan?













Argentina vs Germany


30 Jun, Jumaat @ 11 malam

Siapa juara?

No comments: