Wednesday, June 28, 2006

Cetusan Demam WC : Brazil ke suku akhir

BRAZIL 3-0 GHANA

TIDAK dapat ku bayangkan betapa seronoknya aku dengan kemenangan yang tercipta pada perlawanan kali ini. Tidak perlu mendabik dada dan bercerita dengan megahnya di dalam akhbar tentang kekuatan pasukan. Sebaliknya, Ghana yang sedari awal mengancam dengan angkuh bahawa mereka bakal membuatkan pasukan Brazil merana, terpaksa menggigit jari!
Ke Restoran Maisha sekali lagi dan sambutan nampaknya begitu memberangsangkan. Alhamdulillah, hujan tidak turun pada malam ini, maka dapatlah lebih ramai lagi pengunjung berkongsi skrin TV yang besar itu untuk menikmati perlawanan. Jeritan dan sorakan silih berganti kerana bukan semua pengunjung adalah penyokong pasukan yang sama.
Seperti yang ku jangkakan, Ronaldo memanaskan perlawanan dengan gol sulung pada minit ke-5. Hantaran yang cukup kemas dilakukan oleh Kaka menyaksikan bagaimana kemudiannya Ronaldo memperdayakan defender dan GK Ghana, Richard Kingson hingga mereka tidak mampu lagi menyangkalnya. Sumbatan gol yang mengutip angka ke-15 mencetuskan rekod baru bagi penjaring gol terbanyak Piala Dunia sepanjang zaman yang dahulunya dimiliki oleh Gerd Muller.
Lewat masa tambahan pada separuh masa pertama, satu lagi sumbatan gol dihasilkan menerusi ledakan kontroversi yang terjadi antara Ghana dan Adriano; meletakkan Brazil dua gol di hadapan. Ghana menolak keputusan referee kerana bagi mereka Adriano berada dalam keadaan offside sedangkan jika diteliti, jelas sekali gol yang terhasil bukan dari lantunan pada lutut Adriano. Sebaliknya, ia adalah kesilapan yang dilakukan oleh pasukan mereka sendiri.
Ghana beraksi dengan bersungguh-sungguh. Itu tidak dinafikan sama sekali. Semangat mereka berkobar-kobar. Mungkin inilah salah satu sebab utama kekalahan mereka kerana tekanan yang dihadapi terserlah di atas hamparan hijau itu. Bermain dalam keadaan tekanan menyebabkan fokus tersasar dan emosi sering mengawal situasi. Brazil bermain dalam keadaan 'biasa' walaupun begitu banyak pihak yang 'menekan' mereka. Sama ada harapan peminat fanatik mahupun orang-orang yang ingin melihat mereka 'tersungkur'. Hasil ketenangan itu, membuahkan satu lagi gol yang terakhir pada minit ke-84 yang disumbatkan oleh defender yang memakai jersi 11, Ze Roberto.
Aku berharap Brazil akan menjuarai Piala Dunia. Namun, hakikatnya bola itu bulat dan hamparan hijau itu luas. Pemain juga adalah manusia.. bukannya robot. Jadi, aku tidak mahu terus gah mempertahankan mereka akan tetap nombor satu meskipun aku sukakan kesemuanya. Sebagaimana pasukan Brazil, aku juga akan tenang dan tidak emosional! Hehehe..

Man of the Match - 11 Ze Roberto (Brazil)

p/s: cerita ini mula ditulis sebaik sahaja selepas perlawanan.


No comments: