Saturday, June 24, 2006

Cetusan Demam WC : Brazil juara kumpulan F!

BRAZIL 4-1 JAPAN

PERLAWANAN sudah berlangsung beberapa hari yang lalu. Hatiku rasa teruja untuk menceritakan detik-detik yang menggembirakan ini.. namun, waktu yang sedikit kesuntukan sejak akhir-akhir ini mencacatkan sedikit rencanaku untuk terus bercerita.
Walaupun aku peminat setia pasukan Brazil, sebelum perlawanan bermula aku sedikit prejudis dengan rentak perlawanan yang bakal ku tonton di kaca televisyen. Apa tidaknya, lewat dua perlawanan yang sudah, pasukan Brazil bermain dalam keadaan yang "amat biasa" meskipun kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka. Atas sebab itulah, aku berkira-kira untuk tidak terlalu bergantung harap pada perlawanan ini meskipun aku 100% yakin mereka bakal mencapai kemenangan berturut-turut.
Mereka beraksi dalam keadaan yang tenang tanpa tekanan. Bagi perlawanan kali ini, beberapa orang pemain utama direhatkan seperti Roberto Carlos, Adriano, Emerson dan Cafu. Tepat sekali jangkaanku bahawa Robinho akan diberi mandat untuk bermain sepenuhnya pada kali ini. Namun begitu, Ronaldo masih dikekalkan dalam kesebelasan utama.
Tidak membosankan. Itulah ungkapan paling sesuai. Pasukan Brazil menguasai 60% perlawanan pada separuh masa pertama dan menghasilkan rentak yang pantas hingga berjaya menghilangkan rasa mengantukku. Pasukan Jepun mendahului dengan jaringan tunggal hasil rembatan Keiji Tamada pada minit ke-34. Kegembiraan yang bukan kepalang jelas terdengar dari sorakan yang tiada berbelah bahagi dari penyokong mereka.
Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari..hehe.. cahaya indah yang terlakar di langit membiru bertukar awan mendung nan kelabu sebaik sahaja tandukan azimat Ronaldo berjaya menyumbatkan gol penyamaan pada minit ke-46. Penyerang yang memakai jersi bernombor 9 ini menamatkan separuh masa pertama dengan senyuman yang terukir di bibirnya dan riak itu jauh berbeza daripada keadaannya sebelum ini.
Semangatku marak menyala sebaik sahaja separuh masa kedua bermula. Apatah lagi, apabila dalam masa 6 minit berada di atas padang semula, pemain berjersi 19, Juninho Pernambucano berjaya menghasilkan satu rembatan ajaib dari jarak 25 ela (22.5 meter). Sungguh menakjubkan! Bermula dari saat itu juga, hatiku berdesis dengan sepenuh keyakinan bahawa pasukan Jepun akan dibelasah sepenuhnya..!

Mendahului dengan satu mata tidak memuaskan hati pasukan Brazil. Ball passing yang baik dari midfielder Ronaldinho memantapkan lagi persembahan Gilberto yang akhirnya menyumbatkan satu gol lagi pada minit ke-59. Berada di dalam pasukan berprestij yang tidak memerlukan 'banyak mulut' untuk menjadi juara, tidak menjadi mustahil seorang defender juga mampu skor dengan cemerlang! Menurut pemerhatianku juga, setiap seorang dari pemain berpeluang menghasilkan gol melainkan penjaga gawang..
Pesta gol terus berlangsung sebaik sahaja Ronaldo berjaya menutup jumlah jaringan pada minit ke-81 dan dengan itu secara tidak langsung menambahkan lebar senyuman di bibirnya. Buat kesekian kalinya, dia telah menamatkan segala spekulasi mengenai ketidakmampuannya beraksi cemerlang di persada Piala Dunia kali ini. Jelas, dia punya agenda tersendiri yang meletakkan dirinya dalam keadaan yang kurang meyakinkan pada dua perlawanan sebelum ini. Mungkinkah ini salah satu daripada taktiknya dari mengelak menjadi sasaran pihak lawan? Segalanya terjawab dengan prestasi cemerlang yang berjaya ditunjukkan.
Ronaldinho, Kaka, Robinho beraksi dengan sederhana dan ia sudah cukup membawa kemenangan kepada mereka..

Syabas kepada pasukan Brazil! Semoga kecemerlangan bakal diteruskan dari semasa ke semasa. Perlawanan kalah-mati pada pusingan kedua bagi pasukan Brazil akan berlangsung pada hari Selasa, 27 Jun @ 11 pm menentang pasukan tunggal dari Afrika, Ghana. Biar apa pun kata-kata yang dilemparkan oleh pasukan Ghana..aku teruja untuk melihat samba terus berlagu sehingga ke akhir nanti!

Man of the Match - 9 RONALDO; Forward (Brazil)






No comments: