Monday, June 19, 2006

Cetusan Demam WC : Brazil menang lagi..!!

BRAZIL 2-0 AUSTRALIA


BERBEKALKAN semangat yang tinggi aku sekali lagi melangkah ke Restoran Maisha. Lokasi utama sempena demam bola tahun ini. Sewajarnya mereka memberikan kami diskaun kerana terus setia melanggani makanan-makanan mereka! Sehari sebelum perlawanan bermula, pelayan restoran awal-awal telah mengingatkan aku tentang perihal ini. Ah! Mana mungkin aku melupakannya. Biar sebegitu teruk sekalipun omongan berkenaan prestasi perlawanan yang lalu, aku masih belum serik untuk memberikan sokongan padu kepada skuad pilihanku ini.
Sebahagian besar penonton adalah peminat kumpulan warna-warna legasi ini. Lantaran itu, pasti banyak sekali suara-suara kecewa pada separuh masa pertama. Apa tidaknya, rentak permainan masih tidak memuaskan hati meskipun aku yakin, pasukan membuat yang terbaik. Sekali lagi, penyerang berjersi no 9 ini membuatkan peminat menjerit marah. Kalau sebelum ini dia memberikan alasan pening kepala, kali ini aku tidak faham apa lagi masalah yang timbul. Barangkali kesan 'serangan lutut' yang diberikan oleh pemain Australia sedikit sebanyak mencacatkan pergerakannya. Entahlah! Sejak dari mula lagi, tumpuan awam lebih kepadanya sehinggakan masuk minit terawal separuh masa kedua bermula, kamera masih terarah ke wajahnya. Jelas, rasa sebal yang menghuni di dalam diri terserlah di sebalik raut wajah yang keruh. Pasti sekali, dia menghadapi situasi tekanan yang getir. Bukan sekadar 'bambuan' coach, berjuta-juta lagi peminat seluruh dunia mengutuknya. Sesekali rasa kasihan singgah juga ditangkai hatiku. Namun, kerana harapan menggunung yang kutaburkan pada pasukan Samba ini.. aku langsung tidak fikir sejauh itu. Hehehe..Kemungkinan besar, tahun ini merupakan kali terakhir Ronaldo berada dalam barisan kesebelasan utama. Sayang, kalau dia boleh menerima hakikat teguran yang membina dan berusaha lebih gigih lagi.. aku percaya dia masih mampu menjulang kegemilangannya. Tapi, seandainya dia sendiri sudah tidak mahu lagi melangkah jauh.. itu adalah hak individu itu sendiri..Adalah lebih baik peluang itu diberikan kepada orang yang layak menerimanya seperti Robinho.
Walau bagaimanapun, sedikit pujian tetap harus diberikan kepada beliau. Sekurang-kurangnya, sebelum perjuangan berakhir pada malam itu, dia berjaya memberikan hantaran yang baik kepada Adriano sehingga terhasilnya gol sulung yang menggamatkan suasana dengan tepukan gembira seantero dunia pada minit yang ke-49.Kegembiraan tidak ternoktah di situ sebaliknya bertambah sebaik sahaja gol kedua menyusul pada minit ke-90 hasil tolakan kaki yang amat sedikit daripada pemain simpanan yang baru beraksi, Fred. Aku bersyukur, perlawanan ini berakhir dengan sebuah kemenangan pada pasukan kegemaranku. Setidak-tidaknya, dapat juga aku menarik nafas lega kerana mereka berjaya secara automatis ke peringkat ke-2.Harapanku agar mereka dapat melangkah dengan jayanya berbekalkan semangat juang yang lebih tinggi. Pasukan Argentina dan Korea Selatan patut dicontohi dari semangat juangnya dan sekiranya segala resipi kejayaan cukup sempurna, tidak mustahil.. Brazil bakal meledakkan peminat seantero dunia dengan kemenangan menjulang piala buat kali yang seterusnya!

Man of the Match - 11 ZE ROBERTO (BRAZIL)







3 comments:

babyarisha said...

aik...latest news for brazil xde ek...post r..nk baca...

Nieys Zahri said...

dua tiga hari ni tak berkesempatan lagi nak update blog ni... especially citer bab bola.. insyaALLAH.. walaupun dah basi.. saya akan tambah cerita pasal pasukan Brazil.. :)

jekin_meroh said...

maklumlah...brazil kalah....kan nieys...xda semangat laa kan...viva italia