BEBERAPA hari ini aku terlalu banyak bercerita tentang bolasepak. Barangkali demam bola yang melanda dunia pada hari ini membawa virusnya kepadaku. Ada suara-suara yang menyarankan supaya aku menceritakan tentang perihal lain seperti drama, filem ataupun isu-isu yang berbeza daripada bolasepak.
Benar, demam bolasepak menyebabkan aku hampir terlupa kepada rutin harianku sebelum ini. Novel yang aku tulis tergendala buat seketika memandangkan masaku lebih tertumpu kepada beberapa siri perlawanan penting yang berlangsung di kaca televisyen. Justeru, mood menulis banyak dipengaruhi dengan suasana yang kualami. Ketandusan idea juga menyukarkan jemariku dari terus menaip ayat-ayat yang menarik untuk dibaca. Sesungguhnya tidak adil untuk aku meneruskan cerita andai isinya kaku dan membosankan. Biarpun sebetulnya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya, kita harus disiplin dalam menyiapkan hasil penulisan. Akan tetapi, memikirkan tentang perasaan pembaca dan kepuasan hati sendiri, aku simpan seketika kenyataan itu.
Ah! Masih lagi bercerita tentang bolasepak.. Ada baiknya aku mula memesongkan sedikit gaya penulisanku ini. Kalau tidak, simpang siur itu pasti akan berakhir dengan sebuah catatan mengenai bolasepak juga! Barangkali buat permulaan ini, aku coretkan sedikit tentang drama bersiri Latin kesukaanku, La Heredera.

Sebenarnya siri ini sudah mula ditayangkan sekitar penghujung suku tahun terakhir 2005. Siri ini menggantikan drama Perla yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Jumaat di TV2 pada pukul 1.30 petang. Entah kenapa, pihak penyiaran masih lagi mengekalkan hero dan heroin yang sama membintangi drama Latin kali ini. Sergio Basanez dan Silvia Navarro kelihatannya serasi digandingkan bersama sebagaimana Shah Rukh Khan dan Kajol. Aku mula mengikuti drama Latin di TV2 sejak separuh daripada kisah Coando Seas Mia ditayangkan beberapa tahun yang lalu. Masih lagi menggunakan khidmat pelakon yang sama, aku merasakan kemungkinan besar siri ini juga dihasilkan dari pasukan penerbitan yang sama.

Sebagaimana kebiasaannya drama bersiri Latin, pasti bermula dengan kisah sebuah keluarga yang kaya-raya. Perebutan harta pusaka, kuasa, kasih sayang kekeluargaan, dendam yang berpanjangan dan cinta sejati yang sentiasa terhalang menjadi intipati kehidupan yang dipaparkan. Watak heroin, Maria Claudia Madero Grimaldi (Silvia Navarro) juga hampir sama dengan beberapa watak sebelum ini. Cantik, cepat melenting, adakalanya naif, terlalu suka menyelesaikan masalah orang lain dan selalu melakukan tindakan-tindakan kurang bijak adalah ciri-ciri yang sering dimainkan oleh heroinnya. Cintanya pada Antonio Bautista (Sergio Basanez) berputik ketika mereka sama-sama terlibat dalam kejadian kapal terbang terhempas di sebuah pulau (Macam tak logik je..). Cintanya sering pula terhalang dengan rencam peristiwa yang berlaku selama beberapa tahun dan aku pasti mereka akan disatukan pada episod terakhir..Heheheh.. biasalah tu..
No comments:
Post a Comment