Friday, September 29, 2006

Cetusan Seorang Pejalan Kaki

MENGINTAI-INTAI kisah yang berlaku sekitar Ramadhan. Kembali mengirai tabir kenangan tentang Ramadhan yang lalu. Masih juga berkisar tentang pengalaman yang diterokai oleh seorang pejalan kaki bersama teman-temannya. Dan teman-temannya itu pula tidak lain dan tidak bukan adalah orang yang hampir sama dalam setiap cerita yang dicatatkan.

Pertama sekali tentu sahaja hal yang sedemikian tiada kena mengena dengan gambar yang terselit di dalam entri ini. Gambar ini sekadar sebuah hiasan. Sebetulnya aku ingin meletakkan gambar Keanu Reeves sebagai penghias. Namun, jelas sekali aksi Ricardo KAKA yang berlari ini lebih sesuai dimuatkan dalam siri kali ini.

Kali ini pejalan kaki yang wataknya adalah aku; bersama dengan dua lagi teman yang akrab di UTM iaitu Dila dan Aini. Keterujaan sekali lagi menerjah perasaan lantas mengibarkan sayap semangat untuk meniti anak-anak tangga bas dan menapak di bawah jambatan. Matlamat hanyalah satu. Demi melangsaikan keinginan berbuka puasa di Plaza Angsana. (Jika tidak tersilap ingatan ini). Ya, aku pasti ianya berlaku di bulan yang mulia.

Benar. Ketika cerita ini berlangsung, kekuatan mental masih lagi perlu di kalangan pejalan kaki yang hendak ke Plaza Angsana. Turun dari bas, kami perlu menapak beberapa kilometer untuk ke destinasi. Kami juga perlu merentasi sebuah perkampungan Indonesia yang mana membuatkan kami berasa seakan-akan 'berada di luar negara' ketika melaluinya. Terdapat sebuah panggung wayang yang usang tidak berpenghuni dan sebuah semak-samun yang boleh tahan tinggi pangkal lalangnya. Kawasan terakhir sebelum tiba ke pusat membeli-belah itu sudah pastinya bawah jambatan yang buram tidak bercahaya. Pernah juga kawanku Aziz yang rabun itu jatuh ke dalam sebuah longkang dek kerana kesuraman tersebut.

Begitulah. Bukan mudah untuk tiba ke sana. Andai berjalan sendirian pastinya ketakutan itu bakal menghuni hati dan menerbitkan sebuah gelora yang tidak dapat disangkal lagi. Aku, Dila dan Aini tetap memberanikan diri. Bukan kerana kami handal dalam ilmu persilatan. Kami langsung tidak punya apa-apa warna tali pinggang. Dan ayahku yang pernah menjadi guru silat itu juga tidak pernah menurunkan ilmunya kepadaku dan aku hanya belajar dari sebuah pemerhatian.

"Alamak! Lupa pulak. Balik nanti singgah peti pos jap. Aku nak pos kad raya," pesanku.
Dila dan Aini angguk tanda setuju.

Tiba di Angsana dan menghabiskan masa di situ selama beberapa jam. Zaman pengajian, biarpun kurang ketebalan duit yang berlapis di dalam dompet, hati tetap riang. Asalkan sahaja ada teman yang sanggup berkongsi masa susah dan senang, cukuplah. Apa yang penting, di antara kami tiada yang suka mengambil kesempatan. Setiap hutang pasti dilangsaikan. Jika tidak hari ini, hari esok yang lain pula akan tidak teragak-agak menghulurkan tangan.

Waktu untuk pulang ke rumah sewa. Aku, Dila dan Aini menapak sekali lagi. Di dada langit yang terbentang sudah tentulah sebuah lakaran yang berbalam-balam. Tidak cukup untuk memperlihatkan warna kulit manusia-manusia yang berjalan di atas bumi. Namun, bukanlah terlalu hitam pekat untuk menjadikan manusia teraba-raba tanpa arah tujuan. Keriuhan di bangunan tadi semakin jauh kami tinggalkan. Dan suara alam pula sesekali diusik bunyi kenderaan yang bersimpang siur di atas jalan raya nun jauh di hadapan sana. Kami berbual demi mengisi suasana yang membosankan itu. Ya! Itulah petuanya. Lebih baik jika tidak berjalan sendirian bagi mengelakkan kebosanan dan keletihan yang melampau.

Derap kali semakin jelas kedengaran di gegendang telinga. Sabur-limbur suara-suara manusia yang berbisik sesama sendiri seakan begitu menghampiri kami bertiga. Tanpa disapa, kami bertiga mendiamkan diri. Bagaikan mengerti, di dalam hati masing-masing terselit sebuah ketakutan yang sama namun tidak terzahir dengan kata-kata. Siapakah gerangannya di belakang ini? Kenapa derap kaki mereka seakan pantas bagaikan ada niat untuk mengancam keselamatan kami? Siapa??!

Kebisuan itu nalar menjadi penghias detik yang berlalu. Secara automatis juga, ritma hayunan kaki semakin laju dan hampir sahaja menyamai peserta pejalan kaki yang mengejar garisan penamat! Antara kami, Dila yang paling 'comel' jadi sudah tentu sahaja dia juga yang tertinggal di belakang.

Benar. Itukah ertinya sahabat sejati? Bila berdepan situasi yang menakutkan, diri sendiri yang harus lebih dahulu terselamat. "Tak mengapa, kalau aku selamat.. aku masih boleh berlari dan minta pertolongan orang lain untuk selamatkan kau.." Barangkali itulah bisikan halus antara aku dan Aini terhadap Dila.

Debaran semakin memuncak bila kami hampir tiba di hadapan pejabat pos yang sudah ditamatkan perkhidmatannya untuk hari itu. Aku mengeluarkan beberapa keping sampul putih untuk dimuatkan ke dalam peti surat besar. Dila menghampiri dalam keadaan termengah-mengah. Dan kami tidak memandang ke belakang dan berharap semoga tiada apa-apa yang berlaku. Orang kata, kalau kita tunjuk takut lagi mudah orang ambil kesempatan mengganggu. Jadi, kami pura-pura buat tak tahu.

Kecamuk yang mengganas di sanubari masih belum ternoktah. Tawakkal. Pasrah. Dan apabila sekumpulan manusia yang mengekori kami itu berjaya melintasi kami, itulah saatnya kami bertiga memberanikan diri meneliti gerangan mereka. Sungguh tidak tersangka sama sekali. Mereka yang kami takutkan itu hanyalah sekumpulan kanak-kanak yang kami teka usianya belum menjejah 13 tahun. Kesemua mereka lengkap berpakaian baju melayu dalam rencam warna yang indah. Dan yang pastinya, mereka berlalu tanpa mempedulikan kami.

Aku, Dila dan Aini tertawa. Paranoid,kah kami?

5 comments:

Ayaq said...

Ahahah paranoid siot. Tapi kalo saye pun wat camtu gak. Yes I'm a paranoid biatch. Hiks.

Nieys Zahri said...

ayaq masak >> oo.. samalah kita dik.. :)

adilamat resources said...

aku ingat lagi. adoi, kecut perut. Bebudak tu punya tapak kaki entah saiz berapa agaknya.

adilamat resources said...

aku ingat. entah saiz berapa kaki bebudak tu. Macam askar nak pergi perang.

Nieys Zahri said...

dila >> kelakar kan bila ingat balik.. tapi masa kena tu.. rasa kecut semacam je..haha.. :D