Monday, September 11, 2006

Kerana Aiskrim Itu Sedap Rasanya

SESUATU telah terjadi siang tadi. Perkara itu bukanlah sesuatu hal yang besar.. tetapi, ia telah membawaku mengimbau pada kisah yang berlaku kira-kira setahun yang lalu. Jika aku sebutkan di sini bagaimana perkara itu boleh mencetuskan kejadian lepas, tentu sekali aku akan ditertawakan. Jadi.. biarlah aku tidak menceritakannya..
Kisahnya tidaklah pelik sangat. Sekadar memberi sedikit pengajaran pada kejadian yang rasanya bila dikenang dalam masa beberapa tahun yang akan datang boleh jadi sesuatu yang mengundang ketawa orang-orang yang terlibat. Ketika itu, aku dan keluarga sedang enak menikmati hidangan sarapan pagi yang aku sudah lupa apakah juadahnya..
Yang pasti kami menikmatinya di atas lantai yang beralaskan suratkhabar. Maklumlah.. keluarga besar.. tidak muat meja dan kerusi yang ada di rumah itu.
Dua beradik ini dibiarkan bermain sesuka hatinya. Kebetulan bilik tidur adikku yang bongsu, iaitu merangkap Mak Su anak-anak ini terbuka luas. Dan aku pun tidak pasti.. kenapalah dua beradik ini memang suka sangat membuatkan sesuatu yang boleh mengundang kemarahan Mak Su mereka. Barangkali, kanak-kanak memang begitu. Mereka lebih suka melakukan perkara yang ditegah. Dan sesungguhnya, Mak Su mereka memang tersangatlah garang dengan kedua beradik ini.
Tiada siapa pun peduli dengan kegiatan senyap-senyap yang mereka jalankan di dalam bilik anak dara sunti itu. Sehinggalah pada suatu ketika kedua-duanya keluar dari bilik itu apabila mulut-mulut orang yang lebih tua mula memanggil-manggil dari luar.
Si abang yang ketika itu berusia hampir tiga tahun, keluar dari bilik itu dengan wajah yang bersahaja dan diiringi sang adik yang merangkak-rangkak tanpa arah. Kami memandang ke wajah mereka dengan rasa curiga apatah lagi apabila melihat wajah sang adik yang bernama Waie itu kelihatan semacam. Bagaikan ada yang tidak kena sahaja. Apalah rahsia mereka yang cuba disorokkan? Kami tertanya sendiri.
"Uwekkkk!!" Dan bertaburanlah cecair berwarna putih yang keluar dari mulut Waie. Kelam-kabut ibunya mendapatkan Waie dan membersihkan muntahan cecair putih yang semacam rupa dan baunya..
Dan abangnya memandang dengan wajah yang masih bersahaja.
Dan Mak Su bergegas ke kamar tidur tanpa disuruh-suruh lagi. Kedengaranlah bebelan yang amat membosankan daripada bibir Mak Su yang tidak boleh duduk diam. Mak Su yang gempal itu juga keluar dari bilik sambil menunjukkan deodorannya yang kelihatan tidak sempurna. Jelas, kelihatan bekas gigitan sesuatu pada bahagian atas sebatang deodoran yang berwarna putih.
Bagi kanak-kanak, deodoran yang putih dan lembut kelihatan sangat menarik. Mungkin bagi mereka ia membayangi sepotong aiskrim yang begitu menyelerakan. Barangkali kerana itulah, si abang yang lebih senior sanggup memberikan adik yang hanya tahu menerima untuk mencuba aiskrim ketiak Mak Su yang garang.
Kasihannya Waie yang aku sayang..

5 comments:

Ayu Mohamad said...

hahahahahahha lawak la budak 2 org tuh hahahahaha

Anonymous said...

lorr.... ingat kan aiskerim cendawan tadik... pahal la sedap sangat... ceh...

Unknown said...

wakakakakak.......budak2 memang mcm tulah. Boleh pening kadang melayan kerenah diorang hari2..hehe.

Nieys Zahri said...

Kak Ayu >> memang lawak budak dua orang tu..tapi sekarang ni abang dah start sekolah tadika.. dah jadi budak berhemah sikit.. hihi.. :D

r-m >> aiskrim cendawan? tak penah dengar pun..

Kak Yus >> tu la.. tapi bila takde rindunya.. kadang-kadang rasa nak cepuk je.. hehe.. tapi kan.. susah la nak marah budak2 ni..kalau nangis lepas kena marah mesti cepat-cepat je kena pujuk.. tu yang makin mengada-ngada tu..

Nieys Zahri said...

jerry >> kau otak kuning? rajin-rajinlah cuci bagi bersih sikit.. :)