Friday, August 18, 2006

Inspirasi Sebuah Kalam : Dirinya yang Terlupa (P.6)- Akhir

Alhamdulillah. Akhirnya aku berjaya menyudahkan cerita ini. Sebuah cerita biasa yang ku garap dengan harapan dapat mendidik diriku menjadi insan yang lebih baik. Dan juga ku kongsikan bersama kalian yang sudi membaca dan menghayati cerita disebaliknya.

Kisah ini adalah bahagian terakhir siri ini. Sekiranya anda ingin membaca bahagian-bahagian lain, sila pilih pada "koleksi" di bahagian menu. Terima kasih.
____________________________________________________________

"Macam inikah You buat kerja??!!"

"Perkara kecil macam ni pun You boleh terlepas pandang? Macam mana You boleh jadi Quality Engineer kalau buat kerja 'cikai' macam ni?"

Nuraisyah hanya menundukkan wajah. Memandang ke hamparan karpet kelabu yang melatari lantai tempat kakinya berpijak. Suara sumbang yang terhambur dari bibir Puan Citra, umpama muntahan sebeban peluru-peluru plastik yang tidak membunuh tetapi memedihkan. Sesekali Nuraisyah mengangkat wajahnya, melihat riak bengis sang singa betina yang bertubuh manusia.

"Ya, bagi pihak syarikat, kami mohon maaf atas isu ini dan kami akan bertanggungjawab atas kesilapan yang tidak disengajakan."

Itu kata Nazman. Entahlah. Nuraisyah seakan tiada modal untuk membalas balik segala tohmah keji dan caci-maki yang adakalanya seperti dibuat-buat demi membuktikan kebenaran slogan 'pelanggan sentiasa betul'. Tidak seperti lazimnya, Nuraisyah yang lebih banyak bersuara memujuk rayu sehingga cair segala dinding tembok hati mereka yang hanya terbina dari seketul ais. Selalunya tidak begini. Dia tidak pernah berurusan dengan perempuan berhati rampus ini. Dengar khabarnya, dia Jurutera yang baru.

Patutlah.. orang baru rupanya.. Berlagak.. tak ada sebab lainlah tu.. mesti nak mengampu boss! Kutuk Nuraisyah di dalam hati.

"20 ribu? Boleh kita bincang tentang hal ni, Puan? Harap boleh dipertimbangkan lagi jumlah penalti.."

"You all ingat masalah kita ni macam beli ikan di pasar malam? Boleh tawar menawar?" Pantas Puan Citra menempelak. Memotong segala bicara lembut yang cuba diatur dalam sebuah mesyuarat.

Sejam berlalu dari detik itu. Nuraisyah dan Nazman bermohon diri dengan senyuman manis yang sengaja dibuat-buat. Telinga sudah jenuh berpanas dengan suara-suara yang menjengkelkan perasaan. Hati sudah terbakar dek semburan seorang perempuan yang kononnya berpegang status pelanggan yang budiman. Di dalam akal masing-masing terlukis alasan dan ayat terbaik yang bervariasi coretannya demi mempersembahkan sesuatu yang tidak memakan diri sendiri. Selesai sudah kes di tempat pelanggan, kini mereka terpaksa berdepan dengan majikan pula.

Sepi kembali mengisi suasana di dalam perut kereta. Antara Nazman dan Nuraisyah tidak bertutur sepatah pun. Entahlah! Kalau ada pun barangkali ianya tidak sampai ke pendengaran Nuraisyah. Bukan kerana Nuraisyah pekak, tetapi.. buat masa ini apa sahaja yang diucapkan seakan masuk telinga kiri dan keluar di telinga kanan. Langsung tidak berbekas di mindanya.

"You dengar tak apa yang I cakap?"

Nuraisyah diam.

"Nuraisyah!!"

Bagai hendak tercabut jantungnya. Terkebil-kebil mata Nuraisyah memandang ke wajah Nazman yang masam mencuka. Mulutnya terlopong dan dahinya berkerut seribu. Renungan mata Nazman yang sesekejap berpaling padanya seakan menghantar makna yang boleh diteka. Marah! Sudah pastinya Nazman marah. Tetapi.. kenapa, ya? Begitulah Nuraisyah berjeda sambil berfikir seadanya.

"Nuraisyah! You ni kenapa? Dari tadi I cakap tapi You macam dengar tak dengar je!" Soal Nazman perlahan tetapi bernada tegas. Kedua tangannya kemas memegang stering sementara kedua bebola mata tepat mengarah ke jalanraya yang masih sesak dengan kenderaan yang berlapis-lapis.

"Apa yang You cakap..?"

Nazman mengeluh hampa.

*******

"Aisyah!! Aisyah!!"

Nazman tidak berupaya berbuat apa lagi. Bersilih ganti bunyi hon dari kereta seluruh pelusuk tempat membuatkan dia terpaksa meneruskan perjalanan tanpa teman di sisi.

Suara yang menjerit nama 'Aisyah' seakan hilang di bawa angin sendalu. Barangkali juga, ia tenggelam di celah-celah hiruk pikuk warga kota yang berebut-rebut di dalam barisan kenderaan yang datang dari pelbagai arah. Serabut. Kelimut manusia pada suatu titik pusat yang kadangkala tidak bermakna langsung. Tapi, begitulah manusia di sini. Kesesakan berjam-jam yang hanya disebabkan oleh sebuah kereta yang berhenti di pinggir jalan untuk menukar sebuah tayar yang pancit!

Bahang api langit yang membakar sungguh-sungguh membuatkan pandangan mata Nuraisyah kelabu sekejap-sekejap. Pedih. Peluh menitis di pipi. Membasahi segenap ruang wajah yang tiada lagi serinya. Nuraisyah tidak peduli lagi pada sesiapa. Biarpun sejuta wajah yang memandang. Dia malas hendak memenatkan otak berfikir tentangnya. Tidak seperti kebiasaan.

Panasnya! Kenapa aku bodoh sangat berjalan di tengah panas macam ni? Ke mana aku nak pergi? Ke mana? Hatinya berkata.

Bodohkah aku? Duduk di dalam kenderaan yang bermuntahkan penghawa dingin yang berbahang itu juga sama bodohnya! Ah! Biar diputar sehingga ke tahap maksimum sekalipun, kepanasan berada di dalam kereta itu tidak dapat dipadamkan begitu sahaja. Punggung terasa bagai tercucuk duri sembilu. Bagai mengalir nanah-nanah putih yang secara tiba-tiba bermastautin di dalam gegendang telinga!

Nuraisyah meluru keluar dari kereta sebaik sahaja mendengar ayat terakhir yang dilontarkan dari bibir Nazman. Lancang juga mulut lelaki itu. Sampai hatinya mengucapkan ayat sebegitu pada gadis sebaik Nuraisyah. Nuraisyah rasa terhina. Dirinya seakan diinjak-injak sehingga jasadnya tertanam ke dasar bumi yang paling dalam. Benar-benar Nuraisyah rasa bengang.

Betul! Tidak dinafikan sebahagian besar masalah yang timbul pada produk yang dihantar kepada Puan Citra itu berpunca dari jabatannya. Tetapi, kesalahan ini bukan hanya terletak pada dirinya seorang! Kenapa Nazman begitu mudah menuduhnya yang bukan-bukan? Nazman kata dia tak buat kerja.. hanya tahu bersolek dan bergaya demi menampakkan imej korporat di mata majikan.

"I selalu jumpa perempuan yang cantik bergaya tapi bila masuk bab kerja, zero! I bukan prejudis.. tapi selalu I jumpa macam tu. Apa yang pelik, muka cantik tapi pemalas. Buat kerja selalu dengan emosi. Sikit-sikit nak marah.. sikit-sikit nak merajuk! Huh! Buang masa je! Benda kecil pun nak dibesar-besarkan.. Tak tahu nak bezakan mana satu hal kerja dengan hal peribadi..!"

Kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya. Berulangkali. Bagaikan sebuah pemain MP3 yang diulang-ulang pada lagu yang sama. Nuraisyah menekup kedua telinganya yang diselaputi tudung berwarna hitam itu dengan kedua tangannya. Matanya dipejamkan dengan harapan segala yang menganggu emosinya akan terlerai dan berarak pergi. Kembalilah awan putih! Kembalilah.. usah biarkan siangku berbalam dengan kelabu yang tercoret di langit lazuardi. Jangankan malam berlabuh sebelum sempat aku menikmati dingin petang yang mendamaikan.. ah! Manusia.. tidak pernah puas dengan apa yang diberi!

Dan kedua kakinya terus melangkah tanpa henti...

*******

"YA ALLAH! Macam mana aku boleh terlupa pasal kunci??!"

Dia duduk terjelepuk di atas permaidani berwarna hitam kelabu yang dipanggil simen. Tubuhnya disandarkan ke pintu pagar yang dirantai besi. Mujurlah hari sudah mula merangkak petang. Dan, bagaikan mengerti dengan jiwa nuraninya yang mula bergelora dengan pelbagai dugaan yang mendatang, sang langit tidak memuntahkan laharnya.

Dia hampir terlupa. Kunci rumah dan segala harta bendanya ada di pejabat. Nuraisyah juga terlalu lalai kerana tidak perasan telefon bimbitnya yang tercicir semasa kelam kabut melarikan diri dari Nazman. Ah! Terburu-burunya dia! Langsung tidak berfikir panjang! Agaknya memang itulah sebenarnya manusia yang bernama Nuraisyah..Suka benar mencari bala? Bala? Benarkah begitu?

Nuraisyah menekup mukanya dengan kedua tangan. Air matanya mengalir lagi. Tidak terkira baginya kali yang keberapa kolam itu melimpah. Yang pasti, bila tiba masanya ia akan terhenti sendiri. Kerana itu, Nuraisyah tidak kisah digelarkan gila kerana tidak sudah menangis. Apa ertinya menjaga personaliti demi pandangan duniawi? Sedangkan di dalam cerita manusia yang berkongsi udara yang sama untuk dihirup ini tidak ada seorang pun yang kisah tentang dirinya. Jelas, selama ini.. hanya dia yang terlebih menduga! Perhatian siapakah yang dicari? Kesempurnaan apakah yang memuaskan nafsunya? Ingin sekali dia berlari sehingga ke langit hijau. Asalkan sahaja di sana nanti semuanya bisa terlerai tanpa perlu dia memikirkan jalan penyelesaiannya!

"Reisya, kenapa ni?"

Nuraisyah mendongak. Tangisannya bagaikan reda dengan sendirinya. Matanya sayu memandang seraut wajah yang penuh dengan pertanyaan.

"Kenapa duduk di sini? Apa dah jadi?" Tanya Sharmaine lagi.

"Aku tertinggal kunci." Jawab Nuraisyah perlahan.

"Aku dah agak dah.. Nasib baik aku jumpa kau di sini..Kau ni.. menakutkan akulah!" Keluh Sharmaine sambil menggelengkan kepala.

"Apa yang kau dah agak?" Soal Nuraisyah kembali.

"Aku dah agak kau akan ada kat sini. Nah!" Kata Sharmaine. Bibirnya tersenyum.

Nuraisyah terpempan sejenak. Dari mana Sharmaine jumpa telefon aku? Soalnya di dalam hati.

"Dahlah.. jom kita masuk dalam.." Ajak Sharmaine seraya menarik lengannya.

"Tak apalah.. kau masuklah dulu. Aku nak duduk sini!"

Sharmaine tidak menghalang kehendak temannya. Sebaliknya, dia turut melabuhkan punggungnya di sebelah Nuraisyah tanpa dipelawa. Perlakuan Sharmaine itu mengundang sesuatu yang pelik di hati Nuraisyah. Namun, lidahnya seakan mengeras. Tidak mahu bersoal kenapa.

"Nazman minta maaf. Dia kata dia pelik kenapa tiba-tiba kau lari melulu macam tu!" Kata Sharmaine setelah masa terbiar sepi beberapa ketika.

"Nazman? Mana kau kenal Nazman?"

Mula-mula telefon. Sekarang Nazman pula! Hatinya semakin gusar. Nuraisyah menghantar sebuah pandangan yang berisyarat buat Sharmaine. Memohon agar diberi segala penjelasan buat dirinya yang masih kabur.

"Aku telefon kau. Terkejut aku. Lelaki yang jawab. Aku jumpalah dia. Si Nazman tu! Kau kenapa? Kenapa tiba-tiba lari tengah-tengah traffic jammed?"

Nuraisyah mengeluh.

"Nazman minta maaf. Dia kata dia tak sangka kau akan marah bila dia komen pasal perempuan. Sebab dia sebenarnya tak tahan dengan siapa tu..? Citra? Dia pelik.. kenapa kau tiba-tiba keluar macam tu sedangkan dia tengah sibuk menceceh pasal Citra!"

Pasal Citra? Jadi.. semua kutukan tadi sebenarnya ditujukan khusus untuk perempuan itukah? Ya Tuhan.. kenapalah aku yang terburu-buru?? Malunya aku..! Hati Nuraisyah berbisik.

"Reisya, aku nak tanya sikit boleh tak?"

"Tanyalah.. sikit je! Banyak tak boleh.." Nuraisyah berseloroh. Dia tersenyum. Sudah lama rasanya dia tidak terasa begitu.

"Aku masuk bilik kau tadi.." Bicara Sharmaine terhenti di situ. Dia teragak-agak untuk meneruskan kata. Barangkali cuba memancing perhatian Nuraisyah dan menyuntik semangat padanya untuk berterus-terang. Sharmaine tahu Nuraisyah menanggung sebuah masalah. Sharmaine tidak mahu Nuraisyah menganggapnya penyibuk tetapi dia benar-benar ingin membantu..

"Reisya..kau ada masalah?"

Nuraisyah diam lagi. Mindanya ligat berpusing. Haruskah dia berterus-terang pada Sharmaine tentang masalah yang menimpanya? Selayang pandang, air muka Sharmaine benar-benar ikhlas dengan kata-katanya. Tetapi sejauh mana? Adakah itu hanya sebuah kepura-puraan? Sekadar lakonan untuk melengkapkan sebuah drama kehidupan yang dipentaskan? Nuraisyah keliru. Sampai ke saat ini pun, dia masih mengunci hatinya daripada membuka segala kisah.

"Reisya, aku bukan nak jaga tepi kain kau.. tapi.. kita kan sahabat baik.. apa gunanya sahabat kalau tak dapat membantu?"

"Kau nak bantu aku, Shar?"

Sharmaine mengangguk.

"Membantu yang macam mana? Bukan semua benda orang boleh tolong kita, Shar.." Nuraisyah mengeluh lagi. Dia memandang tepat ke jalanraya di hadapannya yang kosong dan sunyi.

"Memang bukan semua benda. Tapi, bukan semua orang tak mahu tolong kita.."

"Shar, aku malu.. aku malu dengan kau..."

"Apa yang kau nak malukan..? Kita kan kawan.. takkanlah aku nak ketawakan kau.. kau tak percayakan aku, Reisya?"

"Bukan macam tu.. tapi.. hmm.. Aku sebenarnya..ada masalah.." Nuraisyah terdiam. Rasanya tidak sanggup untuk meneruskan kata. Namun, untuk berundur sudah terlewat. Sharmaine sudah pastinya banyak menangkap cerita-cerita yang terkias di sebalik semua kejadian yang berlaku. Paling tidak pun, dia yakin Sharmaine sudah membaca 'surat cinta' yang terkubur di dalam timbunan baju yang bersepah di kamar.

Tu lah.. aku dah cakap.. kau tak nak dengar! Dari dulu lagi aku dah cakap jangan boros! Dari dulu lagi aku dah tegur jangan gila pakai kad kredit! Tengok sekarang.. apa dah jadi? Padan dengan muka kau! Suara itu bagaikan menerjah ke gegendang telinga Nuraisyah. Membunuh segala keinginan untuk meluahkan perasaan. Agaknya, itulah antara bingkisan yang bakal diterima sesudah dia melafazkan segala-galanya.

"Reisya! Reisya!"

Lamunannya terhenti.

"Reisya, aku bersedia membantu kau.." Sharmaine mengulangi ayat yang sama.

"Tapi.."

"Dah! Jangan banyak cakap! Kali ni.. kau mesti dengar cakap aku! Buang semua ego kau tu..!"

Nuraisyah terdiam dan dia menganggukkan kepalanya.

*******

Sesungguhnya kehidupan di dunia hakiki tidaklah sekejam yang disangkakan. Masih tertinggal manusia yang berhati jernih buat mencuci kelabu bayang yang mengekori setiap langkah manusia yang terlupa. Nuraisyah rasa terharu dengan kesungguhan serta keikhlasan yang terpancar di sebalik senyuman dan sinar mata Sharmaine yang bercahaya.

Kereta yang sudah hampir sebulan tidak disentuh kini kembali terparkir di depan rumah. Benarlah kata orang, kita akan benar-benar menghargai sesuatu itu apabila kita sudah kehilangannya. Bila keretanya dirampas oleh pihak Bank kerana gagal melangsaikan ansuran sebanyak tiga bulan berturut-turut, barulah dia menyedari betapa pentingnya kenderaan itu di dalam kehidupan hariannya.

Walaupun bukan sepenuhnya, dia kini sudah boleh bernafas lega. Nuraisyah berjanji, akan melunaskan segala pinjaman yang diberikan oleh Sharmaine. Biarpun Sharmaine tidak mendesak untuk masa yang terdekat.. Nuraisyah tidak mahu terlupa lagi. Lantas, segala kad kreditnya diserahkan kepada Sharmaine kerana dia percaya, hanya perempuan itu yang dapat mengingatkannya tentang kesilapannya suatu ketika dulu.

YA ALLAH, aku bersyukur padaMu kerana menemukan aku dengan sahabat sebaik Sharmaine. Berikanlah aku peluang untuk melangsaikan hutang piutangku dan berikanlah aku ruang untuk membalas segala kebaikannya padaku, setulus doa Nuraisyah di malam yang hening.

Sesudah solat, dia mencapai naskah Al-Quran yang kulitnya indah dengan warna kuning keemasan. Dia mengaji sekali lagi. Tetapi kali ini dengan nada suara yang agak perlahan. Sesuatu yang aneh menyelinap ke dalam dirinya. Dia tidak lagi asyik memainkan irama yang gemersik. Sebaliknya, ayat-ayat yang terkandung di dalam surah Taaha itu benar-benar menyentuh jiwanya. Entah kenapa. Biarpun dia tidak memahami maksud yang terkandung di dalamnya, hatinya menjadi sebak. Air matanya menitis pada kepekatan malam yang berlabuh. Dia menyudahkan bacaan pada kalam yang ke-126.

Tanpa disuruh dan dipaksa, dia menyemak helaian Tafsir yang diberikan oleh ibunya. Sudah lama buku tafsir itu diserahkan padanya namun dia selalu lupa untuk menggunakannya. Sukmanya bagai dipercik titis keinsafan. Betapa selama ini dia alpa dalam menjalankan tanggungjawab.

********************************************************************************************

"Barangsiapa berpaling dari peringatanKu (Quran), maka untuknya penghidupan yang sempit, kemudian Kami himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta."

"Dia berkata: Ya Tuhanku! Mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, sedang dahulu aku boleh melihat."

"Allah berfirman: Demikianlah (Aku buat), (kerana) telah datang kepadamu ayat2 (keterangan) Kami, lalu engkau lupakan dia. Sebab itu pada hari ini engkau dilupakan pula."

-Ayat 124-126, Surah Taaha

Keterangan : Dalam ayat2 ini terang benar kepada kita bahawa sebabnya sengsara penghidupan seseorang, ialah kerana ia berpaling (tidak mengikuti) peringatan Allah, iaitu al-Quran, kitab suci. Sebab itu tidak hairan bahawa kaum Muslimin zaman sekarang ditimpa beberapa kesusahan dan penghidupan yang amat sengsara, kerana mereka tidak menurut peraturan Quran, bahkan sesetengahnya tidak pernah membaca al-Quran, sambil memperhatikan isi-isinya, malahan ada yang membacanya untuk semata-mata dilagu-lagukan untuk menggembirakan hati.

Umat Badwi Arab, dahulu kala tidak ada kitab bacaannya untuk memperhalus budi pekertinya dan mengangkat ke darjat yang tinggi, selain dari Quran ini, sehingga mereka memperoleh penghidupan yang baik, senang dan berbahagia.

Oleh sebab itu, wajiblah kaum Muslimin sekarang kembali memperhatikan isi al-Quran serta menurut perintah-perintahnya. Maka, biasakan membaca setiap hari meskipun beberapa ayat, untuk membersihkan rohani dan mengingati Allah.

********************************************************************************************

Astaghfirullah.. Ucap Nuraisyah sambil menangis lagi. Kali ini dia bukan menangis kerana fikiran yang rungsing tentang masalah kewangan yang menimpanya. Kali ini tangisannya menjangkaui perkara yang lebih besar ertinya. Benar, Nuraisyah kesal dengan laluan kehidupannya yang sempit kerana keterlupaannya sendiri. Dia adalah antara manusia yang hanya beramal ketika susah. Dia juga antara manusia yang mengaji hanya untuk menghiburkan hati. Dia tidak mengaji kerana sebenar-benar sebab... Dialah... manusia yang terlupa!

YA ALLAH, janganlah Kau biarkan aku berpaling setelah Kau berikan aku petunjuk..

Manusia itu tidak sempurna. Namun di sebalik itu, Nuraisyah berusaha mencari sebuah kesempurnaan untuk mata-mata duniawi yang memandang. Dia terlupa, sesuatu yang tertinggal.. yang sebenarnya menjadi kepingan terakhir untuk melengkapkan sebuah potret dirinya. Jika dia tidak terlupa, mungkin kesempurnaan sebenarnya sudah terlalu cukup buat kehidupannya. Nuraisyah masih manusia biasa. Kisahnya tidak terhenti di situ. Jika kelupaan itu tidak kembali ke dalam hayatnya, pengakhiran yang baik akan berlaku.. namun, jika tidak.. kisah ini akan kembali lagi. Entah sampai bila.. Semoga Nuraisyah tidak akan lupa sehingga ke hujung nyawa..

Sekian.. dari aku , manusia biasa yang sering terlupa..

4 comments:

ZaKiN said...

ermmm...dah habiss erkk.. tahniah!! suka baca!!

Anonymous said...

eeeeeeerrrrrrrrrrmmmmmmm
ending yg sungguh menyedihkan...
huuhuhuuhuhuuu
insappppp

Nieys Zahri said...

maniq
-suka baca..? alhamdulillah.. yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datang dari kekurangan diriku sendiri.. :)

reen
-ending sedih..? insaf..? harap-harap insaf penulis pun akan berkekalan bila menyiarkan cerita sebegini.. :)

Sang Perba said...

aisey aku tak boleh baca...ekeke anyway syabas sebab rajin menulis bukan macam aku kena tunggu mood yang sesuai...