Wednesday, August 16, 2006

Inspirasi Sebuah Kalam : Dirinya yang Terlupa (P.5)


Kisah ini merupakan bahagian kelima keseluruhan cerita. Jika anda ingin membaca dari bahagian-bahagian lain, sila pilih pada bahagian "koleksi" di menu bar. Terima kasih.
___________________________

"Aku benci!!!! Aku benci!! Semua ni menyusahkan!!"

Jerit Nuraisyah sekuat hati. Dia menarik keluar beberapa koleksi busana kesayangannya yang tergantung padat di dalam almari. Lalu, dicampakkan kesemuanya ke atas lantai. Tidak cukup dengan itu, dia menyelongkar beg-beg tangan yang berlainan warna dan jenama yang tersimpan di dalam laci. Bagaikan seekor tikus yang sedang mengaduk-aduk makanan yang tersimpan di bawah tudung saji yang berlubang. Nuraisyah sudah tidak tahan lagi! Dia sudah tidak tahan dengan semuanya!!!

"Tak guna! Tak guna!! Penipu! Pembohong! Penjahat!! Jahatnya.. kenapa dunia ni kejam sangat????!!" Nuraisyah menjerit lagi. Bibirnya tidak terhenti di situ, dia terus mencabik arang dan ketenangan sang malam berkocakan dengan gema suaranya sendiri.

Marah lagi! Dunia ni memang kejam pada kau! Takdir ni memang selalu mengheret engkau menjadi manusia yang teraniaya! Kesabaran selama ini tidak pernah memberikan apa-apa kebaikan kepada diri kau! Lepaskan semuanya!! Lepaskan semuanya, Reisya..

Perlahan-lahan bisikan itu seakan menyelinap ke ruang hatinya. Memamah segala rasa ketenangan dan kesabaran yang sedang dihimpunkan di suatu daerah yang sangat jauh letaknya.

Betul juga! Selama ni aku lakukan yang terbaik buat diriku! Aku tak pernah lupakan tanggungjawab aku pada agama.. aku tak pernah abaikan ibu dan ayahku. Setiap bulan aku berikan mereka duit secukupnya! Setiap bulan aku akan hadiahkan mereka dengan macam-macam benda yang mereka inginkan! Tapi kenapa?? Kenapa..pengorbananku ini hanya sia-sia?? Dia mengeluh sendiri.

Nuraisyah duduk terjelepuk di atas lantai. Matanya hanya merenung kosong pada timbunan pakaian yang berselerakan di atas lantai. Rasanya sudah kering air mata yang tersimpan untuk dialirkan ke pipi. Dia sudah muak.. selama hampir tiga minggu, dia hanya bertemankan sebuah mimpi bahawa segala permasalahan ini ternoktah dengan kegembiraan. Dia semakin gelisah. Waktu untuk dia kembali seperti dulu hanya bersisa sedikit sahaja peluangnya. Dan dia juga dapat meneka, segala usaha yang dilakukan selama ini hanyalah sekadar menjaring angin semata-mata.

"Aisyah, kamu hutang apa dengan Bank sampai dua tiga kali mereka ganggu mak dan ayah di kampung?"

Kata-kata emak yang bernada curiga itu kembali menghantui fikirannya. Buat beberapa ketika dia berjeda. Mencari helah demi mententeramkan jiwa sang ibu yang tidak habis-habis bertanya itu dan ini. Aksara yang membentuk perkataan kenapa tidak pernah mati. Biarpun sakit jiwa dibuatnya, Nuraisyah hanya mampu menahan ledakan emosi yang tertanggung di dalam. Berulangkali dia memujuk orang tuanya. Biarpun emak melafazkan lega, dia sedar semua itu hanya satu lakonan. Dan dia bukan insan bodoh yang mudah terpedaya dengan penipuan di hujung talian..

"Mak.. Aisyah penat.. Aisyah dah penat dengan semua ni.." Ucap Nuraisyah perlahan dan dia tidak sedar bila masanya lena menjemputnya kembali. Jasadnya terbaring di atas timbunan pakaian itu sehingga sinar mentari menyuluh alam.

*******

Sejak menerima panggilan telefon yang bertalu-talu dari pihak Bank, Nuraisyah menjadi seperti seorang manusia yang hampir hilang deria pendengaran. Telefon bimbitnya sengaja 'disenyapkan'. 'Surat-surat cinta' yang menagih pembayaran segera hutang-piutang yang tertunggak selama beberapa minggu kesemuanya disorokkan di bawah tilam. Dia tidak mahu melihatnya apatah lagi membaca isi kandungannya! Menduri hatinya setiap kali terkenangkannya.

Aku menyesal! Aku menyesal!! Ini kali terakhir aku pakai kad kredit.. lepas ni aku nak bayar semuanya dan tamatkan kesemuanya! Aku tak mahu hutang lagi! Aku tak mahu simpan lagi kad kredit aku yang semua-semua ni!! Jeritnya di dalam hati.

Ah! Begitulah! Setiap kali menerima 'panggilan cinta' aku akan kata begitu. Tapi hakikatnya.. aku masih tidak bisa lari dari objek segiempat tepat yang ketebalannya tidak sampai pun 2 mm! Nampak sahaja kecil tetapi sebenarnya jerat yang dipasang pada objek yang sebegitu kecil pun mampu membuatkan hidup aku sengsara sebegini rupa.. Salah siapa? Salah pihak Bank yang menipu, salah aku yang terpedaya ataupun salah kad itu sendiri kerana terlalu kecil dan mudah untuk dibawa???? Salah siapa??? Ledakan gunung berapi kecil di dalam hatinya seolah-olah menghancurkan kewarasannya sedikit demi sedikit.

Nuraisyah menongkat dagunya dengan kedua lengan di atas meja. Matanya tertancap pada jam tangan yang sengaja ditanggalkan. Hairan.. sesekejap dia melihat jarum yang berpusat di tengah itu bergerak ke kanan dan beberapa saat kemudian ia bermula dari kiri. Semakin lama dia memerhatikannya, jarum itu semakin laju berputar.

"Ah! Takkan rosak pulak!" Katanya perlahan seraya menggoncangkan jam tersebut. Mujurlah, segalanya kembali tenang tidak lama kemudian. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, jam ini tidak menambahkan beban masalah yang mengusutkan fikirannya.

Nuraisyah kembali melaksanakan tugasannya yang tertangguh sebentar tadi. Seingat Nuraisyah, tiga minggu lepas adalah hari terakhir dia senyum dengan sesungguh hati. Pada hari itulah dia benar-benar mengecapi kegembiraan dan kenikmatan dalam hidup. Selepas beberapa detik yang berlangsung, dia tidak punya keinginan lagi untuk memaniskan wajah. Biar pada sesiapa pun! Malahan, ketika di dalam kursus yang dianjurkan Tuan Ayub; Pengurus Besar syarikat, tadi pun, dia hanya membungkam diri. Sedangkan teman lain yang menghadiri kursus yang sama ketawa terbahak-bahak bagaikan hendak terkeluar isi perut..

Malam tadi dia sudah puas mengamuk. Tekaknya perit kerana melontarkan suara yang sebegitu lantang beberapa kali. Mujur juga Sharmaine tidak ada kerana bertugas di luar daerah. Dapatlah juga dia melepaskan segala perasaan yang terbuku selama ini di dalam hati.

Nuraisyah terjaga dari lena tadinya dalam keadaan yang kelam-kabut. Dia tidak sedar bila masanya dia terlelap dalam timbunan pakaian yang menggunung di atas lantai. Bila matanya terbuka, jam tepat menunjukkan ke angka 7.00 pagi. Hanya tinggal sejam sebelum tugasnya bermula dan dia memerlukan sekurang-kurangnya 40 minit untuk berada di dalam perut teksi. Sudahnya, Nuraisyah bersiap ala kadar. Waktu Subuh yang menghampiri ke 'masa gajah' itu terpaksa ditangguhkan. Dan Nuraisyah ke pejabat dengan pakaian yang hampir tidak sempurna seperti sediakala. Benar! Dia hanya mampu menahan malu bila sesekali orang menegur ataupun memandang sinis pada bajunya yang tidak sempat diseterika.

"Eh.. kenapa baju You berkeromot?"

"You bangun lambat ya..? Entah-entah You tak sempat nak mandi pun.. Haha.."

"Selekehnya You hari ni.."

Nuraisyah hanya menahan gelora yang menghempas pulas di pesisir kesabaran. Dia mengetap bibir bila pendapat-pendapat yang tajam lagi berbisa singgah setiap kali dirinya bertembung dengan sesiapa juga yang pernah memujinya suatu ketika dulu. Mereka ibarat memakuk dengan belakang lading. Setiap bicara yang dikeluarkan hanya menanahkan telinganya yang mendengar.

Ah! Dasar hipokrit! Penyibuk! Suka jaga tepi kain orang lain..!! Hatinya mendengus seraya menjerat sebal.

Masa dulu bukan main lagi memuji-muji. Hanya kerana 'kecacatan' sedikit.. aku dikutuk seteruk ini.. Beginikah manusia yang berlegar di sekelilingku?? Ah, agaknya Sharmaine juga akan begitu jika dia tahu kisah sebenarnya.. Hatinya berkira sendiri.

Kalaulah hidup ini seperti sebuah buku..sudah tentu aku akan memulakan hidup baru seperti menukar mukasurat! Keluhnya sendiri. Kenapa hidupku bukan seperti sebuah buku..???

*******

bersambung...

p.s: nampaknya cerita ini lebih panjang daripada 5 bahagian.. hmm.. namun aku yakin, hanya tinggal satu atau dua bahagian sahaja lagi.. :) terima kasih kepada yang sudi membaca dan sabar menunggu..

4 comments:

Anonymous said...

Akan ku selamatkan Reisya...

ryan2zing said...

atually aku tak sempat baca suma karya ko niss.. by the way.. bleh tahan, apsal ko tak ambik degree dlm sastera dulu? hehe..
akhir kata, terima la pantun dari saya..

"dari susu getah menjadi tayar,
saya ucapkan selamat berkarya..."

Anonymous said...

perrrhhhh
sian reisya ek...
tu ler...jgn utang byk2 kredit kad...bahaya...
rkkekekeke

sambung lagi..teruja nak bc nih...

Nieys Zahri said...

wood rat selamatkan reisya umpama selamatkan diri sendiri.. :)

ryan a.k.a Punk - huh, baru sekarang ko nak jenguk blog ku ini.. huhu.. sastera?? heheh..entahlah, mungkin sebab aku dulu budak MRSM kot.. tu pasal teruja dengan bidang sains lebih dulu.. :)

azreena - tu la... lenkali jangan utang bebanyak.. haha.. tapi kalau dah ada kad kredit tu memang gatal tangan je nak pakai.. kecuali kalau orang yg guna tu betul2 ada disiplin yang kuat.. so, selamat mendisiplinkan diri..