Thursday, August 03, 2006

Cetusan Diri Seorang Perompak...


HARI ini aku dikejutkan sekali lagi dengan cerita tentang seorang suri rumah yang dirompak gara-gara terpedaya dengan penipuan jemputan perkahwinan seorang jiran. Semalam aku membaca cerita di dalam blog penulis terkenal, Norzailina Nordin, tentang seorang makcik yang terselamat daripada cubaan merompak. Juga setelah diperdayakan oleh lelaki bermotosikal; bahawa suaminya kemalangan tidak jauh dari situ.

Moral daripada cerita-cerita ini adalah sentiasa mengunci pintu pagar rumah walaupun di siang hari.

Sebenarnya pintu pagar rumahku juga selalu tidak berkunci.. lantaran rosak dilanggar sesuatu.. Nampaknya aku perlu menitikberatkan soal ini dengan segera!

Berbalik kepada kisah Penyamun dan suri rumah. Aku tidak ingin berbicara tentang perlunya sikap berhati-hati dalam diri seorang manusia. Terlalu banyak kisah yang diperdengarkan sebelum ini dan ia harus dijadikan ikhtibar. Semua orang tahu walaupun sering terlupa.

Kali ini aku ingin menguraikan tentang perihal diri seorang Penyamun. Walau apa pun sebabnya dia menyamun, ia tetap suatu dosa dan tidak perlulah ditekankan bahawa merompak itu sangat jahat tindakannya! Merompak dan menyamun punya makna yang sama tentunya.. :)

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan. Aku pasti, kalian sudah acapkali mendengar barisan ayat ini. Bukan sahaja di dalam novel, malah barisan ayat ini juga sering didengar ketika menonton televisyen ataupun sekurang-kurangnya ketika kalian sedang cuba-cuba memikat hati seseorang.. :)

Sebagaimana manusia lain, aku percaya.. Perompak juga mempunyai bakat terpendam yang sebenarnya dia sendiri tersalah menggunakannya. Berlakon dan memperdayakan umpamanya.. itu juga sebenarnya adalah suatu kelebihan yang dimiliki. Berfikir secara kreatif.. itu juga milik seorang Penyamun.

Malangnya, dalam kehidupan yang sebenarnya terlalu banyak pilihan, dia tersilap dalam membuka langkah. Di antara dua persimpangan sebuah kehidupan, tersedia begitu banyak panorama-panorama yang cantik dan indah. Barangkali, sesetengah daripada jalan itu.. keindahannya hanya mampu terlihat dari sudut yang lebih dalam dan tidak hanya terzahir dari sebuah pandangan mata kasar semata-mata.

Bayangkan kalian berada di antara dua persimpangan jalan ini. Jalan yang benar dan jalan yang salah. Memilih jalan yang benar, adakalanya membuatkan hidup kita kelihatan kompleks. Terlalu banyak kesukaran..terlalu banyak dugaan. Begitu banyak masa dan tenaga yang dihabiskan. Begitu banyak wang yang melayang begitu sahaja demi membayar harga petrol yang semakin mahal, bayaran tol dan sebagainya. Namun, akhirnya kalian akan ketemu sebuah destinasi yang pasti. Sebuah destinasi yang sebenarnya sudah lama kalian cari dan itulah sebenarnya destinasi yang kalian tuju sejak dari mula perjalanan. Itulah sebenarnya panorama keindahan yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar. Itulah sebenarnya sebuah keindahan tentang sebuah pelajaran kehidupan yang kita tidak dapat lihat tetapi kita dapat rasa di akhir perjalanan.

Jalan yang satu lagi cukup indah sejak awal. Kita tidak perlu menghabiskan begitu banyak wang dan tenaga untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih besar dari apa yang kita korbankan. Itulah sebabnya, manusia bernama perompak ini lebih seronok meneruskan perjalanan dalam arus yang salah. Semata-mata kerana sebuah godaan dan sebuah keindahan yang bersifat sementara namun ia membuatkan mereka terpesona dan terus terpedaya. Bukan hanya memperdayakan mangsa.. tetapi jasad mereka sendiri sesungguhnya jauh lebih terpedaya dengan jalan yang salah. Jalan itulah yang dinamakan jalan kesesatan.

Manusia di dunia ini saling perlu-memerlukan. Justeru, bakat besar yang dimiliki oleh seorang Perompak tidak harus dipersiakan begitu sahaja. Sebaiknya seorang yang memiliki bakat yang sangat besar maknanya itu menggunakannya dalam bentuk yang positif. Insan seperti ini seharusnya menggunakan kepakaran mereka dalam merencanakan sebuah cerita, kerana mereka mempunyai daya fikir dan daya imaginasi yang tinggi. Mereka juga boleh menjadi seorang Guru kerana mereka mampu memperdayakan anak murid agar tidak bosan di dalam kelas. Dan mereka juga boleh menjadi seorang Pelakon kerana mereka mempunyai bakat menguasai watak seseorang.

Sesungguhnya, terlalu banyak anugerah yang dimiliki oleh seorang Perompak. Juga di dalam sebuah kehidupan yang sementara ini, kita dihidangkan dengan rencam pilihan yang pelbagai rasa dan setiap daripadanya tentu sekali ada kelazatannya. Terpulang kepada kita untuk memilih hidangan yang mana satu asalkan sahaja ia tidak memudaratkan diri sendiri dan juga orang lain..

Aku sedar, berbicara tentang seorang Perompak dari sudut yang begitu barangkali tidak membawa ertinya kepada seorang Perompak kerana mereka tidak meluangkan masa membuka blog-blog sebegini. Namun, sekurang-kurangnya.. dalam kehidupan yang semakin "mahal" dan dipenuhi dengan manusia yang "bijak dan tertekan".. aku berharap dapat memberikan inspirasi kepada mereka agar tidak memilih jalan yang salah. Usahlah menambahkan bilangan manusia-manusia yang tersalah memilih jalan. Kelak, jalan keindahan sementara yang penuh dengan kesesatan itu pastinya akan sesak dan menyusahkan. Fikir-fikirkanlah sebelum kalian melakukannya.. bagi yang mempunyai hasrat memperkembangkan bakat sebagai seorang Perompak.

Aku sekadar berbicara, dari satu sudut yang berbeza.. dengan hasrat untuk mendidik.. kalau tidak untuk orang lain, cukuplah sekadar untuk diri sendiri..

11 comments:

Unknown said...

Banyak betul kes rompak yus dengar di Malaysia. Paling baru yus dengar, dahlah merompak, anak sulung dia yg berumur 8 tahun di rogol sekali. Nauzubillah....setakat merompak jer sudahlah, kenapalah budak tak berdosa pun nak di buat begitu rupa. Takut betul yus rasa.

Nieys Zahri said...

Memang pun Kak Yus, kalau baca kat dalam Harian Metro hari ni pun.. hampir seluruh Edisi Metro (Utara, Selatan,Tengah..) melaporkan tentang jenayah.. terutamanya kes rompak ni..
itu yang buat hidup kita ni makin lama makin 'mahal' harganya.. dan tak hairanlah, orang semakin lama semakin mementingkan diri sendiri.. dan semakin tak mempercayai antara satu sama lain..

9w2yvf - VF @ Yusairi said...

hi nieys,

kat area manjung ni pulak ada org meninggal/mati (tak pasti islam or buddha) disebabkan ke santau angin. khabarnya from ipoh ke manjung. team perempuan yang pernah dipermainkan lelaki. mereka cari 200 org lelaki. semoga aku tidak jadi mangsa mereka. ya Allah, jauhkanlah aku dari mereka2 ini.

Nieys Zahri said...

Yus,

takut gak erk.. yerla ada pulak jenis macam ni..makin la pupus kaum lelaki kat dunia ni. dah la tinggal sikit.. :(
agaknya bagi diorang, lelaki yg "tak guna" bagi diorang lebih baik tak ada daripada ada.. MasyaALLAH..

tumismenumis said...

Dekat KK ni, mender mender ni memang bayak sebab ramai PTI yang kalau buat jenayah senang nak balik filipin.

Last 2 month, dia orang bergaduh sesama dia kat satu kawasan setinggan, siap bertetak lagi, mati sorang.

Hidup kat sini kena terlalu berhati hati.

Nieys Zahri said...

Mazudi,

mmg banyak benda2 "black-magic" yg Nieys penah dengar kat belah sana tu.. dulu masa sekolah rendah, cikgu Nieys penah citer, kena pakai "dalam-dalaman" terbalik sbb takut kena sihir.."benda" tu boleh "hilang dari tempatnya"..

tumismenumis said...

Manader. Itu kampung kampung ada la kot. Saya nak datang sini awal awal dulu takut dengan citer yg cenggini la. Tapi bila dah duduk sini, tak lah pernah jumpa pulak.
Yang bikin banyak masalah tu PTI tu.

Aku Bukan Bidadari said...

mereka ini ingat hidup didunia selama-lamanya!

terrarosa said...

berita yg masuk tv last week..
sedihkan.. kalau tak silap Azlinee dr Kedah... dirogol dan dibunuh begitu kejam..
dan disisinya novel Ombak Rindu...
kesian.. niat yg tak kesampaian.. impian yg tidak tercapai...
yg tinggal hanya kesedihan dan kepiluan keluarga dikampung !!

sama2 lah kita berhati2 dengan persekitaran disamping kita berdoa semoga Allah melindung kita dari kejahatan manusia , Jin dan Syaitan .

Anonymous said...

Perjalanan yang tiada penghujungnya.

zino said...

salam kenal..