cetusan inspirasiku : Lewat Musim Itu

"Kau rasa kau dah bercinta dengan orang yang salah?"
Ucapan yang terluah menerusi YM membuatkan aku terfikir sejenak. Benarkah penyesalan itu singgah di tangkai jiwaku lewat musim-musim nan lalu? Entahlah. Kadang-kadang apa yang kita ucapkan tidak seiring dengan apa yang kita rasa. Namun, tidak salah andai sesekali kita cuba mengungkap kembali kisah silam yang pernah berlaku dalam hidup kita. Asalkan sahaja, kita tidak pernah lupa dengan hari ini.
Cinta, kasih dan sayang. Semua itu datang dan pergi satu persatu dari hidupku. Sewaktu melewati indahnya musim berilusi itu, hati bagaikan dibelai sepenuh jiwa raga. Meniti detik tidak mahu berpisah. Wajahnya sentiasa terukir di tubir mata. Suaranya terngiang di gegendang telinga dan semilir angin seakan membawa hangat kasihnya mengiringi dalam setiap langkah. Masa dan kejauhan bukanlah alasan bila hati sudah bersatu dalam satu nada cinta. Aku sentiasa mengingatinya. Aku sentiasa merinduinya. Dan aku harap dia juga begitu. Setia dalam berkasih biarpun diuji dalam pelbagai dimensi.
Haruskah ia digelar cinta pertama?
Apa istimewanya cinta pertama?
Cinta pertama bukan cinta yang paling sejati.
tetapi.. cukuplah andai dikategorikan cinta yang paling susah untuk dilupakan..
Aku mengenalinya sejak dari bangku sekolah lagi. Pertemuan ketika majlis perkhemahan yang dianjurkan oleh Pasukan Pengakap Masjid Tanah '94 selama tiga hari itu membuahkan perasaan pelik yang jarang-jarang berlaku dalam hidupku. Dia amatku benci saat itu. Apa tidaknya, setiap kesempatan yang ada, dia pasti hadir bersama usikan dan adakalanya ia cukup menyakitkan hati! Langsung tidak pernah terlintas hati ini akan tersentuh dengan kenakalannya. Apatah lagi, perhatianku tika itu lebih tertumpu kepada lelaki yang bergelar sahabatnya.
Perempuan.. hatinya cukup sensitif. Perasaannya mudah terusik. Benci yang terucap di bibir namun bahagia yang terlakar di hati. Barangkali benar, benci itu singkatannya 'benar-benar cinta!'
Dia yang bernama Yus sebaya denganku. Aku menatap dunia dua bulan lebih awal darinya. Namun, ia bukan suatu masalah besar. Aku tinggal di asrama penuh dan dia hanya pelajar di sekolah berdekatan. Bagaimanakah cinta remaja boleh terjalin dalam kejauhan yang sebegitu? Gila.. hampir setiap hari aku sanggup beratur di depan telefon awam semata-mata untuk mendengar suaranya biarpun sekejap cuma. Dia pernah menyanyikan kepada aku sebuah lagu. Bermula dengan lafaz bismillah, dia membisikkan ritma lagu yang tidak enak di telingaku. Gemersik suaranya tidak merdu tetapi cukuplah sebuah cinta itu bermakna bila dihiasi dengan ketawa!
Ada masanya kami berjumpa di luar sekolah. Tidak pernah berdua-duaan. Pastinya berempat. Aku, Mieza, dia dan Najmi, sahabatnya. Melepak di Pekan Masjid Tanah yang tidak seberapa. Pertemuan tidak mengambil masa yang lama. Cukup sekadar menjamu selera di KFC dan berkata-kata sepatah dua. Aku dan Mieza pulang ke asrama dengan bas.
Tanggungjawabku sebagai pelajar tidak pernah ku abaikan. Bukan mendabik dada. Barangkali, laluan untuk mencapai kecemerlangan itu tidak sukar buat diriku yang dianugerahkan kelebihan dari ILAHI. Aku masih meletakkan cita-cita jauh lebih tinggi dari cinta. Itu kataku. Itu janjiku pada keluarga dan itu yang kuluahkan padanya menerusi surat yang pernah ku kirim.
Dia pernah mengunjungi aku di asrama. Tiga kali sepanjang perkenalanku dengannya. Aku masih ingat. Biarpun ia suatu larangan, pertemuan yang jarang-jarang terjadi itu menambahkan kasihku padanya. Kali pertama kami hanya dapat berbual di pondok pengawal. Dia ditahan pengawal keselamatan kerana rasa curiga. Mieza juga menjadi temanku. Kali kedua dan ketiga, pertemuan itu berlangsung di sekitar dalam kawasan sekolah.
Perhubungan aku dan dia pernah menjadi umpatan kerana ramai beranggapan cinta monyet itu bakal menemui jalan terakhir. Apatah lagi, setelah dirinya yang dilabelkan lelaki buaya oleh beberapa orang rakan yang mengenalinya. Biarpun Yus bukan belajar dalam daerah yang sama, namanya begitu dikenali oleh teman-teman seasrama. Tidak pernah pula aku mendengar hubungan cintanya dengan mana-mana perempuan di asrama itu melainkan satu tragedi yang pernah menimpa dia dan seorang junior. Yus pernah memberitahu aku, dia terpaksa mengambil perempuan itu sebagai adik angkatnya lantaran peristiwa itu dan sehingga kini aku sekadar meneka apa kisah sebenarnya.
Memang sakit hati, bila terasa diri menjadi bahan sindiran. Mulanya aku tidak kisah kerana aku sendiri tidak pasti apa yang mereka bincangkan. Walau bagaimanapun, menyirap juga darahku saat terdengar desas-desus yang mempersoalkan hak peribadiku. Kalau hendak diikutkan hati yang panas, pastinya perempuan yang mengaku sahabat baik kepada junior itu menjadi sasaran tamparanku. Namun, dalam panas, sempat lagi kewarasan mengatasi amarahku. Aku cuba berlagak biasa dan pura-pura tidak mendengar meskipun jauh disudut hati aku menyumpah seranah perempuan katik yang lancang mulutnya itu. Aku hairan, kenapa seringkali aku berdepan dengan situasi sebegini..
Masa terus berlalu, SPM semakin hampir dan hanya menempah tempatnya dalam masa dua, tiga bulan. Aku masih seperti itu. Belajar segigih yang boleh biarpun kaki study bukanlah sinonim dengan diri ini. Sebelum kertas percubaan pertama SPM 95 sampai ke tanganku, aku dikejutkan dengan kisah kecurangan yang amat melukakan perasaan. Aku tidak menangis dan meratap hiba. Cukuplah sekadar hatiku sakit seakan diinjak-injak dengan kejamnya.
Hari minggu yang bertamu ku habiskan di tepi Pantai Tanjung Bidara. Mieza yang setia bersahabat denganku, tidak putus-putus memberiku semangat agar aku tidak hanyut dibuai rasa. Aku berlagak biasa. Memang benar aku marah dan geram. Namun, untuk menangis dan 'frust menonggeng' belum saatnya.
Ketika itulah, aku bersua Ramlan. Lelaki budiman yang entah bagaimana bisa menghulurkan salam perkenalan. Jelas kematangan di raut wajah, tutur bicara mahupun susuk tubuhnya yang tinggi. Usia 17 tahun seakan tidak cocok dengan dirinya yang ku anggap jauh lebih tua.
Terlalu banyak kebetulannya ketika perkenalan itu terjadi. Aku patah hati dengan khabar angin yang bertiup dan dia pula bisa menjadi pendengar setia. Ramlan kata, dia memang kenal dengan Yus. Aku tidak hairan kerana pelajar-pelajar seperti Yus, Najmi, Ismail dan Ramlan bisa berjumpa bila-bila masa.
-bersambung-
p.s: Bagi sesiapa yang belum membacanya. Kisah ini ku ambil dari blog kalam pencinta. Terima kasih.
2 comments:
hohoho aku telah menjadi seorang watak dalam cetusan mu itu....
iyakah? watak yang mana satu agaknya? oh.. yang bernama najmi itu ya?hehehe.. nama serupa tapi harapnya watak tak sama.. :)
Post a Comment