Friday, July 28, 2006

Cetusan Inspirasiku : Lewat Musim Itu (P.2)

"Macam mana boleh kenal dengan dia?"
"Bukan sengaja. Terserempak kat Tanjung Bidara. Siapa yang beritahu Yus?" Soalku tidak puas hati. Dia yang curang padaku tetapi kini aku yang menjadi sasaran kemarahannya.
"Adalah. Yus tahu apa yang Alis buat.."

Klik! Aku meletakkan gagang telefon yang berwarna merah itu dengan hati yang panas. Nampaknya, sejak akhir-akhir ini seringkali pertelingkahan yang menghiasi butir bicara yang terluah di bibir. Tiada lagi rasa keindahan saat mendengar suaranya. Apa yang ada, sekadar penyesalan dan rasa tertekan setiap kali perbualan ternoktah.

Kenapa sebegitu jauh perasaan ini berubah? Kenapa seakan cepat kebahagiaan itu beransur pergi? Agaknya, cinta setulus hati yang pernah beraja di hati tidak ubah seperti sebahagian kisah cinta monyet yang diperdagangkan oleh pelajar sepertiku. Ah! Barangkali aku yang terlalu sangat berharap. Teramat menganyam ilusi. Lantas, aku yang rasa malu dengan diri sendiri!

Hubunganku semakin akrab dengan Ramlan. Mieza pula sedari awal menyatakan padaku lelaki itu punya minat terhadapku. Aku hanya senyum. Tidak pasti sama ada aku benar-benar sukakan dia atau sekadar melepaskan kesunyian. Selesai menduduki peperiksaan percubaan SPM, aku bertukar kertas soalan dengan Ramlan. Kami berjumpa di dalam kawasan sekolah dan berdekatan dengan rumah pengetua. Bukan berdua. Masih ditemani Mieza. Mujur pertemuan itu tidak disedari Pengetua!

Mieza memberitahu bahawa ada sesuatu di dalam kertas soalan itu. Aku membeleknya dengan rasa ingin tahu. Terpempan seketika melihat nama Yus dan Rozilawati yang tercatat di atas dada lembaran. Aku bertanya, siapakah gerangan kedua-dua insan yang tercoret namanya di situ? Ramlan berkata, dia tidak pasti. Apa yang jelas, Yus pernah meminjam set soalan percubaan itu sebelum ini.

Aku bertambah yakin dengan kata hatiku. Yus sememangnya lelaki yang tidak boleh dipercayai. Mungkin kata cinta yang terucap tidak ubah sebuah mainan dan tiada kesungguhan di dalamnya. Bodohnya aku kerana terlalu mempercayai bicara seorang lelaki. Sepatutnya dari awal aku mendengar desas-desus yang mengatakan dia seorang lelaki hipokrit! Hendak menyesal bukan jalan terakhir. Aku tidak suka menyesal! Justeru itu, wajarlah kiranya aku tidak meneruskan kebodohan itu buat kesekian kalinya..

Dingin dalam perhubungan ternoktah dengan sebuah keputusan. Aku tidak mahu terus mengelamun jauh dengan janji-janjinya yang pernah terucap sebelum ini. Hidup tanpa cinta seorang lelaki bagi seorang gadis sunti sepertiku tidak membawaku ke ruang kelam. Aku masih mampu bernafas dengan tenang. Apa gunanya terus menjalin sayang andai yang melayan perasaan hanya aku seorang..

Aku sendirian tanpa hubungan kasih buat beberapa ketika. Tiada tangisan, kemuraman mahupun kesedihan. Aku menghadapi hari-hari seterusnya tanpa secubit pun rasa kecewa yang mencalar hati. Sesungguhnya nuraniku rasa damai. Tanpa curiga yang pernah membelit jiwaku. Terhakis sudah rungkaian angan-angan yang sering menghiasi mataku ketika berada di dalam kelas. Bagiku, putus cinta dengan Yus tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif. Aku yakin, aku bukan perempuan lemah yang mudah terjebak dalam kedukaan.

Tanpa ku sedari, dalam tegar itu jugalah aku menerima salam cinta yang dihulurkan oleh Ramlan. Dia umpama pelindung dan sikap matangnya itu menyeimbangi perangai kebudak-budakanku. Mungkin kerana dia anak bongsu dalam keluarga besar dan sering bergaul dengan orang dewasa membuatkan dia begitu. Pernah juga beberapa kali dia mengambil aku di stesen bas ketika pulang dari kampung. Sebelum pulang ke asrama, kami minum di gerai berdekatan dan dia menghulurkan duit kepadaku. Aku menolaknya kerana menerima wang secara percuma begitu bukanlah sikapku. Setelah ditolak sungguh-sungguh, akhirnya dia menarik tanganku dan meletak wang kertas itu ke dalam genggamanku.

Pipiku seakan menebal seinci. Aku dapat rasakan betapa segannya aku dengan perlakuannya. Mungkin orang akan mengatakan aku kolot. Aku tidak suka disentuh lelaki! Biarpun ketika bersama Yus, lelaki itu belum pernah sekalipun memegang tanganku dan aku sendiri tidak terfikir untuk melakukannya. Aku benci! Aku marah! Perasaan itu kuluahkan pada dia dan aku meletak kembali wang itu di atas meja. Ramlan memohon maaf dan dia berjanji tidak akan mengulanginya.

Sebenarnya aku tidak tahu aku akan membonceng motosikalnya. Itu kali pertama aku bersetuju pada sesuatu yang belum pernah ku lakukan. Andai nanti orang tuaku tahu, tentu teruk aku dikerjakan mereka. Aku menaikinya dalam keadaan separuh terpaksa dan sebagaimana yang ku katakan tadi, aku tidak membenarkan sekalipun jemariku melingkari pinggangnya. Aku lebih suka meletakkan tanganku di belakang buat menyokong tubuhku dari jatuh. Begitu janggal sekali apa yang aku lalui..

Ramlan begitu mengambil berat terhadapku. Dia sentiasa menjadi pendengar dan penasihat. Dia sering mengingatkan aku tentang perkara-perkara yang baik. Umpamanya, "SPM tinggal berapa hari lagi?"

Setiap cerita yang disampaikan pastinya punya nilai-nilai moral dan menjurus ke arah kematangan. Aku merasa seperti orang lain ketika bersamanya. Aku bukan gadis periang yang adakalanya berbicara tanpa fikir. Ketawa kerana jenaka murahan juga menjadi salah satu perkara yang asing dalam hidupku. Aku benar-benar rasa rimas! Aku lemas berselirat dalam kongkongan yang sedikit ruang untukku menghela nafas sendiri.


*****

DIA sayang aku. Dia terlalu ambil berat tentang diriku. Dia setia. Dia rajin. Dia jujur. Dia romantis sampai aku rasa rimas! Segalanya baik-baik sahaja tentang dirinya.

Sendirian mentelaah di dalam kamar membuatkan fikiranku mudah menerawang jauh. Azza, junior yang mengisi katil sebelah tiada pula di bilik tika ini. Kalau dia ada, pastinya masa kami akan dihabiskan dengan berbual kosong. Apatah lagi peperiksaan PMR sudah pun selesai. Masa untuk dia menikmati 'minggu bulan madu' sudah tiba. Hanya tinggal aku yang terkial-kial menelaah sebanyak mungkin bagi bekalan 'peperangan' itu.

Sendirian salah. Berdua pun salah. Hakikatnya, aku sukar untuk menumpukan perhatian pada apa yang ku baca. Cacamarba di dalam atma bersenda gurau dengan keinginanku untuk menjalankan tanggungjawab. Ramlan.. terlalu banyak perkara yang merungsingkan aku tentang hubungan ini.

"Lepas SPM ni, kalau boleh Lan nak tunang dengan Alis. Alis beri Lan masa empat tahun saja lagi."
"Kenapa cakap macam tu? Terlalu awal untuk kita fikirkan pasal tu. Semua tu kan dah ditentukan.." Aku membantah kata-katanya dalam nada yang perlahan. Tidak mahu dia menyalahanggap apa yang ingin ku sampaikan.
"Memanglah. Takdir dah tentukan semuanya buat kita. Tapi, kalau sesuatu dah dirancang..insyaALLAH." Ujarnya. Menoktahkan segala sangkalan yang cuba ku luahkan sesudah itu. Entahlah. Barangkali, dia berkata begitu sekadar untuk menyatakan bahawa dia benar-benar sayang padaku. Bahawa dia bukan lelaki pendusta seperti Yus. Ataupun juga kerana dia memang begitu.

Bicara itu terngiang lagi di gegendang telingaku. Aku menekupnya dengan kedua tangan dengan harapan ia akan segera berlalu. Mengenangkannya buat aku jadi takut. Takut.. andai nanti aku akan mengecewakan seorang lelaki yang begitu baik terhadapku. Walaupun perhubungan ini baru bermula, kemungkinan untuk ia berakhir hampir nyata. Orang kata, cinta itu membuatkan kita terasa indah apabila bersamanya. Cinta buat kita selalu bahagia. Selalu ketawa. Namun, kenapa ya? Aku rasa bosan yang teramat. Aku rasa mual. Aku rasa terpaksa..?

Malam tadi Yus datang ke asrama kerana ada urusan. Aku sempat menemuinya beberapa minit sebelum dia pulang. Walaupun hubungan antara kami telah berakhir, rindu padanya masih belum padam. Menatap wajahnya membuatkan mendung di dalam hatiku bertambah kelam. Air mata tidak bisa ditahan lagi. Dan aku menangis sekembalinya ke kamarku tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.

Kenapa aku mesti menangis? Entah! Aku tidak dapat meneka apa yang bermain di sebalik air mata yang mengalir di pipiku sendiri. Barangkali rasa cinta yang sebenarnya masih bersisa buat dia yang menjadi bekas kekasihku. Atau mungkin kerana aku rasa rimas kerana menerima kasih Ramlan yang banyak mengongkong kehidupanku daripada membahagiakan. Haruskah aku memutuskan percintaan yang membosankan itu? Haruskah aku membiarkan sahaja perhubungan itu berlangsung dan berharap masa akan menentukan segalanya?

*****
"Mieza, aku nak ke pejabat sekejap. Nak ambil barang. Kau nak ikut aku?" Beritahuku pada Mieza.
"Okey."

Aku dan Mieza ke pejabat Hal Ehwal Pelajar yang letaknya di aras paling bawah. Selepas menandatangani borang penerimaan, kami melangkah seiringan menuju ke kantin asrama.

"Apa tu?" Tanya Mieza.
"Entahlah. Soalan trial SPM kot. Dari kawan aku kat SBP Kelantan." Jelasku. Aku belum sempat membuka sampul itu tetapi aku pasti, Ridhuan yang mengirimkannya. Nama dia sudah tercatat di belakang sampul besar itu.
"Hmm.. banyak betul soalan trial kau.."
"Lagi banyak lagi bagus. Kau tau sajalah.. masa dah suntuk! Aku bukannya kaki study dari awal. Buatlah mana yang sempat. Harap-harap sempat untuk bekalan SPM.."

Benar. Masa terlalu suntuk. Hanya tinggal kurang dua bulan untuk kami sama-sama menduduki peperiksaan besar itu. Peperiksaan yang bakal menentukan hala tuju hidupku selepas ini. Walaupun ada jaminan bahawa kami tiada masalah untuk ke mana-mana saluran IPT yang ada, aku tidak mahu keputusan yang hanya 'cukup makan.' Malu besarlah aku andai keputusanku jauh lebih teruk dari sahabat-sahabatku yang belajar di sekolah harian yang lain.

Pulang dari mengisi perut, aku pulang ke bilik. Masa masih berbaki sejam lebih sahaja lagi sebelum waktu 'Prep'. Di kesempatan yang ada ini aku membuka sampul yang ku terima. Benar sangkaanku, Ridhuan mengirimkan set kertas soalan percubaan SPM. Tambah satu lagi bahan untukku mentelaah dalam waktu prep nanti. Alhamdulillah. Syukurlah, meskipun hampir dua tahun aku tidak menemuinya, sahabatku yang seorang itu masih ingat janjinya padaku.

"Eh, apa ni?" Aku bertanya pada diri sendiri sebaik sahaja melihat satu lagi sampul kecil yang tersisip di dalam set kertas itu.

Assalamualaikum,
Alis, saya kirimkan pada awak salinan set kertas soalan percubaan SPM dari sekolah saya. Saya tak harapkan balasan. Terpulang pada awak sama ada mahu mengirimkan set kertas soalan dari sekolah awak ataupun tidak. Saya cuma harap kita masih seperti dulu.
Bersama kiriman ini juga, saya sertakan empat keping gambar terbaru saya.. untuk tatapan awak. Semoga kita akan sama-sama berjaya dalam SPM nanti.

Ridhuan.

Aku menamatkan bacaan nota ringkas itu dengan sebuah senyuman. Ridhuan.. sahabat yang baik. Agak pendiam orangnya namun boleh tahan jiwang karat juga. Maksudku.. aku dan dia hanya sahabat, tak lebih dari itu.. mungkinkah? Agaknyalah! Dahulu memang pernah aku minat padanya tetapi rasanya perasaanku ketika itu tidak cukup serius. Tambahan lagi.. masih terlalu mentah untuk menjalinkan perhubungan apa-apa pun. Aku tidak menjangkakan balasan cinta atau apa pun darinya. Semuanya terjadi kerana Lina. Ya! Lina yang memulakan! Lina yang pantas memecahkan rahsia bahawa aku tertarik padanya dan selepas itu.. kami jadi rapat. Walaupun segan juga untuk berbicara dengannya sesudah itu. Masih terbayang di ruang mataku ketika hari terakhir aku menemui dia di dalam kelas. Jelas kesedihan yang terpancar di sebalik raut wajahnya. Ah! Barangkali aku yang perasan lebih! Malunya..
Bagiku, kehadiran Ridhuan dalam hidupku cukup istimewa..buat pertama kali orang yang aku minat jadi rapat denganku selepas mengetahui perkara sebenar. Walaupun tidak pernah menjalinkan hubungan cinta..yang pasti dia tidak pernah jemu mengirimkan berita kepadaku dan sesekali kami bertanya khabar melalui telefon ketika cuti sekolah.

Dalam keakraban itu tidak pernah sekalipun aku menceritakan mengenai perhubungan aku dengan lelaki-lelaki lain. Aku rasa tidak perlunya dia mengetahui tentang semua itu. Jaga saham? Mungkin tidak.. mungkin juga ya! Kalau dulu aku minat pada Ridhuan..mungkin kali ini tidak lagi. Habis? Siapa yang bertakhta di nurani? Yus? Ramlan..? Serabutnya fikiran..

"Hei! Tak habis-habis berangan!"

Lamunanku yang singkat itu terenjat seketika dengan suara Mieza yang menerpa dari arah belakang. Aku membiarkan sahaja dia menatap gambar yang dikirimkan oleh Ridhuan. Tidak perlu berahsia dengan Mieza kerana dia sahabat baikku. Lambat-laun dia pasti akan tahu juga.

"Boleh tahan.. smart jugak! Siapa?" Soalan yang sudah ku duga itu terpacul dari bibir Mieza.
"Kawan aku. Yang kirim set soalan ni." Jelasku tanpa memandang.
"Kawan? Lain macam je bunyinya.."
"Kau nak korek rahsia ke?"
"Kau tak nak ceritakan pada aku?"
"Kau nak tahu?" Soalku kembali seraya tersenyum. "Dulu aku pernah minat dia. Masa kami satu sekolah.. Tapi, sekarang tak lagi kot.."
"Oh.. bekas boyfriend lah ni! Berapa banyaklah kau punya boyfriend!"
"Mana ada! Kan aku cakap dulu aku minat dia.."
"Habis tu? Dia tak minat kau?" Tanya Mieza lagi.
"Entah! Tak kot.." Aku mengangkat bahu.
"Kalau tak minat.. takkan dia buat semua ni?"
"Maksud kau?"
"Iyalah.. cuba kau fikir.. dia kirim set soalan untuk kau dalam waktu sibuk macam ni sebab dia prihatin dengan kau. Dan dia.. beri gambar dia sampai empat keping sebab tak nak kau lupakan dia! Itu maknanya.. dia mungkin ada hati dengan kau!" Jelas Mieza sambil menganggukkan kepalanya.
"Kau.. kalau bab macam ni..memang nombor satu! Kau patut masa sekolah cinta bukan maktab rendah sains lah!" Usikku. Tertawa kecil.
"Hmm...memanglah! Tapi, apa yang aku teka pasal lelaki kebanyakannya betul kan? Pasal Yus.. Ramlan.."
"Iyalah! Memang cakap kau betul! Selagi dia tak cakap apa-apa. Tak approach aku.. selagi tu aku tak anggap apa-apa. Dan aku berhak pilih apa yang aku suka.." Balasku. Tidak mahu mengalah.
"Itu cakap kau sekarang. Cakap bila orang dah mula tak minat lagi pada seseorang. Kalau kau masih ada hati padanya, tentu kau takkan cakap begitu.."

Aku diam. Sekali lagi aku terpaksa mengakui kebenaran kata-kata gadis itu. Kalau dulu aku terlalu gembira bila dapat bergambar bersama Ridhuan. Senyumku juga tidak putus-putus bila pulang dari berjumpa Ridhuan selepas waktu sekolah. Sekarang ini.. aku seakan tidak peduli tentang semua itu. Ridhuan hantar surat.. aku baca dan aku balas bila masa mengizinkan. Ridhuan beri gambar, aku tatapnya dan simpan dalam album sama seperti koleksi gambar yang lain. Tiada lagi hati yang berbunga. Aku benar-benar tidak peduli lagi!

-bersambung-

3 comments:

oh my oh my said...

pjg nye...huhuhu..sat lagi haku baca

Nieys Zahri said...

belajar-belajar baca.. nanti senang nak baca novel aku yang akan lebih panjang dari ini.huhu.. yer yer je nak wat novel..
citer ni ada part 1 la.. scroll ke bawah lagi.. actually yg ni part 2 & 3 compile sekali.. dari satu blog yg akan dilupuskan tidak lama lagi.. tu pasal la panjang.. takpe..take ur time utk membacanya..
*jangan lupa study yer.. kalau boring baca notes bahasa jermen tu lepak la blog ni yang berwarna warni dengan bahasa melayu.. hihi..

oh my oh my said...

hoho..akan ku bertandang lagi..huhuh