Monday, June 12, 2006

cetusan sebuah fobia


PETANG ini langit kembali menangis. Memuntahkan linangan air mata di sebalik kepulan awan yang berubah warna kesuraman. Aku sendirian lagi. Menangkap deruman guruh yang sesekali mengejutkan aku tentang masa yang berlalu. Ngaumannya sedikit menakutkan. Apatah lagi bila ia pernah meninggalkan sesuatu titik hitam yang dipanggil fobia. Ya! Aku pernah fobia bila mendengar dentuman guruh yang menyusuli pancaran kilat. Biarpun ketakutan itu masih bersisa, demi waktu yang telah berlalu, sedikit keberanian telah menutup perasaan negatif itu dari kembali menghantui fikiran.
Peristiwa itu masih terbayang di tubir mata. Ia terjadi lebih kurang 17 tahun yang lalu. Ketika itu umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Aku belajar di sekolah rendah dan sudah mula berpuasa. Abanglong tiada di rumah pada masa itu. Dia tinggal di sebuah Asrama di Lenggong. Aku, kedua orang tua dan Kakchek yang masih kecil menghabiskan masa di dapur. Sementara menunggu waktu berbuka puasa yang akan tiba beberapa jam lagi. Adik lelakiku, De pula enak berdengkur di ruang tamu.
Hujan turun dengan lebat dan suasana cukup dingin. Tingkap dapur sengaja dibiarkan terbuka untuk membolehkan sapaan angin yang nyaman mengisi ruang rumah yang berpanas sepanjang hari. Entah kenapa aku mengambil posisi di situ. Duduk di antara kedua dapur gas dan peti sejuk yang tidak berfungsi. Pada masa itu, aku merasakan betapa selesanya melabuhkan punggung di situ sedangkan tiada sesiapa pun menegur tindakanku mungkin akan menyebabkan sesuatu yang tidak baik. Segalanya seolah berlaku dalam sekelip mata. Ketika sedang alpa dengan keadaan sekeliling itulah, ianya berlaku.
"Eh, ada cahaya!" Itu teguran adik perempuanku yang terakhir dapat ku dengar sebelum bunyi 'klik' yang jelas di belakang tubuhku. Rasa sengal yang semacam hinggap di pinggang kanan dan aku akhirnya rebah setelah mengadu sakit kepada ayah.
Pandanganku berpinar. Bayangan kelabu seakan memenuhi ruang penglihatan hinggakan aku tidak nampak apa lagi yang berlaku. Aku cuma dapat mendengar beberapa suara orang-orang yang ku kenali di sekelilingku. Ada suara ayah yang asyik menyuruh aku mengucap dua kalimah syahadah. Dan suara emak yang meminta agar aku kuatkan semangat. Entahlah.. sebetulnya aku hairan kenapa mereka meminta aku melakukan semuanya itu. Sedang rasa sakit yang menular masih bersisa dan lenyap sedikit demi sedikit, aku menurut segala permintaan itu tanpa sebarang pengertian. Bila rasa sengal itu hilang dan aku mampu duduk kembali, aku melihat ke wajah ayah yang sedikit pucat dari biasa. Dan aku cuma menggeleng bila dia bertanya sama ada aku hendak berbuka puasa ataupun tidak.
Detik-detik yang jauh berlari meninggalkan kehidupanku, membuatkan akhirnya aku mengerti apa yang terjadi. Mungkin pada masa itu, ayahku menganggap itulah kali terakhir aku berpeluang menikmati nyawa yang diberi oleh ALLAH. Lantaran itu dia mengajarku dua kalimah syahadah dengan harapan aku akan mati dalam tenang. Soal kematian tidak timbul pada masa itu buat diriku. Barangkali kerana angka usia yang masih belum cukup dewasa dan aku tidak berfikir tentang semua itu. Berbeza kini, aku lebih mengenangkan betapa aku bertuah kerana diberi peluang untuk menikmati kehidupan seterusnya. Aku sempat melihat wajah adik bongsuku yang lahir beberapa bulan selepas itu. Aku dapat merasai keseronokan ketika di alam remaja, alam kampus, alam percintaan dan kebahagiaan ketika bertemu jodoh dengan suamiku sekarang.
Kesan fobia dapat aku rasai sehingga beberapa tahun selepas kejadian itu berlaku. Aku terlalu takut dengan hujan yang dihiasi dentuman guruh dan pancaran kilat. Meskipun ia sekadar petir-petir kecil yang tidak menggentarkan manusia lain. Pernah sekali itu, aku bersama salah seorang rakan baik di kampus, Aini. Kami berdua meredah hujan rintik di bawah sekaki payung ketika di Taman Universiti. Mungkin Aini tidak tahu betapa aku sangat takut berada dalam situasi sebegitu. Kehadiran petir yang sederhana kuatnya menyebabkan aku hilang pertimbangan dan melepaskan payung yang ku pegang ke atas jalanraya. Kalau ikutkan ketakutan yang ku alami, pastinya aku akan berlari meninggalkan Aini sendirian. Aku hanya mampu memejamkan mata dan beristighfar dengan harapan aku dan Aini masih hidup. Benar, kami masih bernyawa! Aini mengutip kembali payung yang kucampakkan dan dia hanya bertanya dengan hairan kenapa aku berbuat demikian..
Terkenang kembali satu kisah yang berlaku beberapa tahun yang lalu. Masih berkisah tentang kesan fobia dan kehidupanku sekitar kampus. Seorang teman baik ada memberitahu perihal fobia yang keterlaluan seorang kawan lelaki kami. Dia begitu fobia dengan darah. Fobianya boleh dikatakan sedikit ekstrem kerana melihat gambar darah yang berlimpah dalam sebuah kemalangan jalanraya di dalam suratkhabar menyebabkan dia terpempan sehingga pitam. Sebetulnya itu sebahagian cerita yang aku dengar. Sebenarnya yang terjadi mungkin sedikit berbeza. Aku dan teman menganggap ia sebagai bahan gurauan dan pernah sekali aku bertanya padanya di dalam kelas apakah benar dia takutkan darah? Sedangkan pada masa itu tidak sekalipun aku tertawa melainkan hanya sebagai satu pertanyaan biasa.
Sungguh. Setiap manusia punya persepsi yang berbeza tentang satu perkara. Kita tidak akan faham 100% tentang seseorang melainkan diri kita berada dalam situasi sepertinya. Aku tidak menyangka pertanyaan yang kuanggap biasa dan sebagai satu gurauan teman-teman di belakang empunya badan rupanya adalah sesuatu yang sensitif. Sewajarnya aku tidak menyentuh soal itu. Atau setidak-tidaknya menyampaikan persoalan dengan cara yang berbeza. Rakanku yang fobia itu cukup tersinggung hingga menyebabkan sedikit perasaan kurang senang antara dia dan teman yang seorang lagi. Baginya, perempuan itu telah membocorkan rahsia dan memalukan dirinya.
Mujur perbalahan itu tidak lama. Tiada siapa pun yang salah dalam hal ini kerana seperti yang aku katakan tadi, setiap manusia punya persepsi yang berbeza. Pada awalnya aku menganggap fobia adalah sesuatu yang keterlaluan dan boleh dianggap gurauan. Begitu juga halnya dengan teman perempuan yang seorang lagi. Bagi empunya badan, ia sesuatu yang sungguh menakutkan, memalukan dan terlalu rahsia. Bila difikirkan kembali, petir adalah sesuatu yang sangat menakutkan bagi diriku tetapi tidak pada orang lain. Kenapa orang lain boleh berjalan dalam hujan tanpa rasa risau dan boleh tidur dengan nyenyak tanpa terancam dengan bunyi dentuman dari langit? Sedangkan aku, titisan hujan yang merenik dari langit mula menyebabkan aku tidak boleh tidur kerana takut kehadiran petir menamatkan riwayatku.
Setiap manusia memiliki kenangan pahit ataupun sekurang-kurangnya sesuatu yang menyebabkan fobia itu terjadi. Jadi, memiliki satu, dua ataupun tiga sekalipun fobia pada sesuatu perkara bukanlah salah. Dan ia bukan juga sesuatu yang melucukan. Terpulang pada manusia itu sendiri untuk menilai sejauh mana fobia yang ada dalam diri masing-masing dan apakah perlunya kita mengatasi fobia itu demi kehidupan yang lebih tenteram. Alhamdulillah, sehingga kini.. aku masih lagi takut dengan dentuman guruh di langit. Namun, saban tahun ianya bukan suatu masalah besar dan aku berjaya menyisihkan sedikit demi sedikit. Jelas, kehidupanku juga jauh lebih bermakna kerana aku tidak lagi perlu mengalirkan air mata di tengah malam kerana takut mati secara tiba-tiba! Sedangkan sebenarnya..mati itu boleh datang bila-bila dan pada masa yang kita tidak jangka...*sebuah peringatan untuk diriku sendiri..













No comments: