Thursday, September 14, 2006

Kerana Peluang Itu Tiba

INILAH dua kanak-kanak yang nakal. Rakaman ini diambil sekitar bulan Mei yang lalu. Ketika kami menghadiri Majlis Konvokesyen bapa mereka di Dewan Perdana FELDA.

Sehingga ke hari ini aku masih tidak pasti apakah motif kanak-kanak ini membuat reaksi wajah yang sebegitu. Barangkali menzahirkan rasa terpegunnya pada lampu-lampu yang bersinar di atas sana.

Baru-baru ini mereka berkelahi. Bukanlah pergelutan yang dasyat tetapi sudah menjadi adat bagi adik-beradik untuk menjerit dan saling melibas sesama sendiri.

Biarpun abangnya mempunyai tubuh badan yang kurus, namun kerana senioritinya, dia sukar untuk dikalahkan oleh si adik. Lalu menjeritlah si adik kerana tidak puas hati. Abangnya pantas memanjangkan langkah tanpa disedari dia sebenarnya menempah bahana bila menapak di hadapan bapanya yang pendiam tetapi garang itu.

Ketika jeritan sedang berlangsung dengan jayanya, si abang telah dicekup oleh si ayah dengan sebelah tangan. Ayahnya berkata pada adiknya, "Hah! 'Kekoh' (gigit).. Kekoh cepat!!" Seraya memegang tubuh abangnya dan menyuakan bahagian punggung kecil si abang yang berseluar biru.

Adik tidak menunggu lama. Peluang bukan selalu terbuka luas. Pantas dia meluru ke sana dan 'membaham' punggung abangnya yang terkekek ketawa.

Tangisan adiknya ternoktah di situ. Jelas terukir rasa kepuasan yang tiada taranya di raut wajah adik yang ceria.

No comments: