Tuesday, July 25, 2006

Cetusan Inspirasiku : Nilai sebuah pemberian

‘Ya ALLAH! Apalah roommate aku ni! Memekak je! Hish.. nak tidur pun tak senang!’ Aku hanya mampu mengomel di dalam hati apabila tidurku terganggu dek bunyi daun pintu yang berulangkali terkuak dan tertutup. Ingin sahaja aku menjerit dan melepaskan segala kemarahan yang terbuku namun atas nama kemanusiaan, aku sebaiknya cuba bersabar meskipun dasarnya sedikit tercalar.

Hairan bin Ajaib.. Nina tidak pernah berkelakuan begini. Selama hampir sebulan aku mengenalinya di bumi kampus ini, Nina seorang yang pendiam dan jarang sekali menyakitkan hati. Entah hantu mana yang merasuk tubuh kecilnya malam ini sehinggakan ingin sahaja aku bangun dari katil dan menampar-nampar pipinya!

Lampu kalimantang yang berwarna putih itu masih lagi terang menyala. Sengaja aku membiarkan ia terbuka kerana menghormati Nina yang masih mentelaah. Biarpun sedikit silau dengan simbahan cahaya itu, aku tetap cuba menyesuaikan diri dengan keadaan agar Nina rasa selesa. ‘Ah! Apakah berbaloi toleransi yang aku berikan padanya sedangkan dia seakan cuba mencabar kesabaranku? Huh!’ Begitulah kata hatiku yang seterusnya.

Aku tidak pasti bila masanya lena kembali menjemput diriku. Sedang saatnya aku melayari bahtera mimpi yang baru mengirai tabirnya, herdikan sang ribut mematikan segala keinginan. Mataku terkebil-kebil memandang Nina yang sudah pun melabuhkan punggungnya di birai katil. Raut wajahnya menggambarkan sesuatu yang berlaku dan dalam kemamar itu, aku hanya menurut langkahnya tanpa berkata apa.

Ada apa ni? Kenapa Nina gelabah semacam? Apa yang dah berlaku?’ Beberapa persoalan menujah benakku namun ia hanya tersekat di situ sahaja tanpa kuzahirkan dengan kata-kata. Desakan Nina yang luar biasa itu seperti menampar pipiku agar segera bangun dari pembaringan. Tidak boleh tidak. Bagaikan sebuah kisah yang ternoktah antara hidup dan mati!

“Awak bukaklah pintu bilik tu!” Usul Nina bernada arahan.

‘Eh! Apa kes ni? Nak masuk bilik Mimi pun takut semacam? Ada apa dalam bilik Mimi sampaikan suruh aku yang buka pintu?’ Hatiku berdesis dalam curiga. Walau bagaimanapun, jemariku tidak teragak-agak memusingkan tombol pintu sehinggalah secara tiba-tiba…

“Surprise!!!! Happy Birthday!!!!”

Pening-pening lalat yang ku alami sebentar tadi seakan terpadam sebaik sahaja suara jeritan yang sederhana kuatnya itu menujah masuk ke gegendang telingaku. Lidahku seakan kelu tanpa kata. Tampang mukaku seperti bertambah seinci ketebalannya. Gembira, terharu, terkejut dan bermacam lagi rencam perasaan yang bertindan antara satu sama lain menjadi satu gumpalan sang cacamarba yang mengusik tangkai hati. Kejutan apakah ini? Adakah ini kejutan hari lahirku?

Mimi meminta agar aku meniup lilin putih nan sebatang yang tegak terpacak di atas kek span yang ku pasti dibeli dari kedai runcit berdekatan. Aku hanya mampu menurut tanpa sebarang tingkah sedang air mataku seakan tertadah dari dalam. Terharu diriku dengan sambutan sederhana tetapi cukup menambat sukma. Gundah jiwa tentang segala permasalahan yang menimpa diri semenjak akhir-akhir ini lenyap hampir tidak bersisa lagi. Tanpa segan-silu aku memberitahu teman-temanku bahawa inilah kali pertama aku dikejutkan dengan majlis hari jadi yang sebegini indah.

Masih lagi berkisar tentang ulangtahun kelahiran. Kali ini aku bukan hendak bercerita tentang berapa diameter kek blackforest yang selalu ku beli saban tahun ataupun berapa harga material yang dibayar oleh suamiku sebagai hadiah hari jadi..

Aku ingin bercerita tentang nilai sebuah pemberian. Pemberian yang bermakna datangnya bukan dari digit-digit yang menyusul selepas perkataan 'RM'. Ia juga bukan terzahir dengan perbezaan antara cantik dan buruk. Benar, sekali imbas..kita akan merasa lebih gembira bila dikurniakan sesuatu yang besar jumlah angkanya dan cantik pula rupa parasnya. Bila usia makin meningkat, kita akan mula berfikir di sebalik semua pemberian itu ada sesuatu yang mungkin sukar untuk diungkapkan. Rasa penghargaan yang datangnya dari sebuah pemberian yang mungkin suatu ketika dulu kita anggap hadiah paling 'cikai' yang kita pernah dapat sepanjang hayat kita.

Sebagaimana kisah kejutan yang ku paparkan itu. Ia berlangsung kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Tiada kata secantik bahasa. Buah aksara bagaikan tidak mahu gugur dari bibir tatkala diri menjadi saksi sebuah adegan yang menzahirkan nilai sebuah persahabatan dan keikhlasan. Percayalah, andai kalian pernah mengalaminya, aku pasti ia juga bisa menanamkan sebuah ingatan tulus dalam hati kalian.

Ketika aku berusia belasan tahun, emak menghadiahkan sepasang baju tidur berwarna biru tua. Sehingga kini, keselesaan masih lagi terasa seperti pertama kali memakainya. Biarpun sudah berpasang-pasang baju tidur yang pernah tersarung di tubuhku, itulah satu-satunya baju tidur yang paling bermakna buatku. Biarpun ia sudah tidak menjadi sepasang baju tidur.. keseronokan ketika menerimanya dari emak dan kedinginan yang menyelimuti tubuhku setiapkali menggunakannya membuatkan aku rasa rindu untuk kembali ke zaman itu.

Aini pernah menghadiahkan aku sekeping kad yang dibuat sendiri olehnya. Tulisan tangannya kemas. Ia dicoretkan menerusi pen berwarna silver dan mampu memberikan impak yang cantik di dada kertas yang kelam dengan rona kebiruan. Berulangkali aku membacanya dan sehingga saat ini kad itu masih tetap elok tersimpan di dalam album. Begitu juga dengan kad yang diberikan oleh Isme ketika hari ulangtahun ku yang ke-20. Ia juga turut sama tersisip di dalam album itu. Bukanlah aku ingin membandingkan keistimewaan yang berbeza-beza pada setiap pemberian yang ku terima. Sekadar ingin berkongsi sebuah cetusan inspirasi. Sebetulnya di dalam kehidupan ini, sesuatu yang berharga dari sebuah pemberian bukan terletak dalam nilai yang boleh dikira. Sekalipun kita seorang yang cintakan matematik, angka tidak mampu memberikan jumlah penghargaan yang sebenar dalam sesebuah pemberian. Fikirlah dengan minda yang terbuka..apakah ertinya sebuah pemberian dalam kehidupan kita..

Menjadi seorang yang pandai menghargai adalah lebih baik meskipun insan lain tidak melakukan perkara yang sama terhadap kita.

No comments: