Thursday, June 29, 2006

Cetusan kenangan : basikal BMX


MENDENGAR radio Hot.Fm dan bercerita tentang berbasikal membuatku teruja untuk menghubungi mereka. Alhamdulillah, pertama kali mencuba, suaraku berjaya menembusi talian. Sudah agak lama juga aku tidak menghubungi stesen radio untuk bercerita tentang sesuatu topik. Dahulu, aku gemar sekali menelefon ERA dan seringkali juga berbual bicara dengan Linda On.

Berbalik soal basikal. Krew Hot.Fm bertanya apakah ada kenangan-kenangan mengenai basikal yang sukar untuk dilupakan. Pastinya ada. Kiranya zaman millenium ini pun, masih ramai kanak-kanak yang suka dengan basikal, apatah lagi di era 80-an dulu.

Ayah membelikan basikal pertama jenama BMX warna biru. Waktu itu, boleh dikatakan semua sahabat-sahabatku di Felda Jengka 21 punya basikal mereka sendiri. Malangnya, aku terpaksa berkongsi dengan abanglong. Lumrah alam, yang kecil selalu terpinggir dan aku seringkali menangis semata-mata kekalahan dalam perebutan basikal itu.

Bermula dengan basikal beroda empat, aku belajar mengayuhnya di court sepaktakraw. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kebengisan abanglong, akhirnya berjaya juga aku mengayuhnya seperti biasa tanpa bantuan dua roda tambahan itu. Aktiviti petang yang dipenuhi dengan basikal pun bermula.

Antara rumahku dan rumah Ida, terdapat satu lorong tanah merah yang agak besar tetapi kurang digunakan oleh pengguna kenderaan yang lain. Lorong itu menyaksikan rencam aktiviti yang melibatkan basikal. Kami sering menjadikannya sebagai litar lumba sambil diiringi nyanyian "Proton Saga.. kejayaan Malaysia!" -sempena lagu iklan kereta nasional yang pertama, Proton Saga yang pada waktu itu sering disiarkan di TV; ataupun setidak-tidaknya lagu "Dia datang.. dengan lenggang lenggoknya..". Siapa yang menyanyikannya? Sudah pastinya beberapa orang rakan yang tidak berbasikal dan berdiri di sepanjang jalan. Akulah insan malang yang selalu menjadi penyanyi itu kerana hak berbasikal yang dimonopoli oleh abanglong. Cis! :(

Pada petang itu, aku berpeluang untuk menggunakan basikal sepenuhnya. Gembira hatiku bukan kepalang, umpama harimau lepas tangkapan. Kami mengadakan pertandingan mengayuh basikal paling pantas sambil menggendong seseorang di belakang. Aku menerima cabaran itu dengan semangat yang jitu. Maklumlah, peluang berbasikal bukan selalu diperolehi tambahan lagi dengan sikapku yang suka bersaing selagi boleh! Apatah lagi, perempuan yang ku gendong itu adalah Liza. Tubuhnya kecil dan rasanya tidak sukar untuk kami menang..

Sorakan dan nyanyian lagu di sepanjang jalan sudah menjadi kebiasaan. Dan seperti yang diduga, aku berjaya meletakkan diri di tempat paling hadapan. Semangat mengayuh semakin bertambah sebaik sahaja Liza memberikan kata semangat, "Cepat! Cepat! Laju lagi.. laju lagi!!"

Aku tidak faham apa yang tersirat di sebalik perbuatan pelik Liza. Setelah puas aku memaksa kaki mengayuh sepantas yang boleh dan kami berjaya berada jauh di hadapan, dia menoktahkan segalanya dengan satu gurauan yang tidak boleh ku terima.
"Geli-geli.. geli.."
Itu kata-kata yang terhambur dari bibirnya, seiring jemarinya yang menggeletek kedua-dua ketiakku. YA TUHAN.. aku tidak sempat hendak berbuat apa-apa melainkan menyerahkan diri bulat-bulat pada takdir kerana tidak tahan dengan gurauan bangang itu. Basikal yang ku kayuh hilang kawalan sehingga akhirnya kejuaraanku direnggut sebaik sahaja kami tercampak dengan tragisnya ke dalam semak.

Pertandingan berakhir di situ dan teman-teman saling mengerumuni kami. Tiada kecederaan yang serius tetapi sakit juga tubuhku dek cucukan semak lalang yang menerima kehadiran kami. Ah! Setakat itu sahaja memoriku tentang kejadian itu. Sakit badan hanya sedikit jika dibandingkan dengan hati yang menduri dengan tindakan Liza yang sungguh tidak masuk di akal. Aku tidak pasti apa yang berlaku selepas itu. Barangkali aku sempat memarahinya dan dia memohon maaf. Mungkin. Itu perkara biasa dalam persahabatan kanak-kanak.

Setelah hampir 21 tahun berlalu, peristiwa itu tetap terpahat di kotak ingatan. Laksana sebuah momen indah yang meledakkan tawa setiap kali aku terkenangkannya. Liza entah ke mana menghilang. Kami terputus hubungan selepas memasuki alam sekolah menengah kerana selepas itu, dia berpindah ke Sabah. Dengar khabarnya, dia sudah berjaya sebagai seorang doktor sebagaimana yang dicita-citakannya ketika kami masih kecil. Alhamdulillah. Liza memang bijak dari dulu lagi. Mujur juga dia tidak seusia denganku. Sekurang-kurangnya, aku masih menduduki tempat pertama di dalam kelas! Hahaha.. :)

Liza, Ida, Fadzly, Faizal, Ali, Suraya, Atun, Ana dan entah siapa lagi. Itu semua teman-teman sepermainan yang sudah lama terpisah. Terlalu banyak peristiwa dan cerita perihal basikal. Bersama rencam kenangan dan pengalaman yang menyakitkan kami membesar di dalam rangka waktu yang dimazkurkan. Biarpun hanya tulang-temulang yang menjadi jasad basikal BMX itu, hakikatnya kisah dan pengalaman bersamanya terus terpahat sampai bila-bila. Selagi TUHAN mengizinkan diri terus bernafas dan minda masih belum rapuh untuk mengingatinya.













No comments: